Diterbitkan pada 1 September 2025, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun bukan sekadar acara tahunan, bahkan detik penuh makna yang mengingatkan kita kepada pengorbanan generasi terdahulu. Mereka mengorbankan jiwa, harta dan tenaga demi membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan.

Dalam hal ini, kemerdekaan atau taḥarrur itu tidak terhenti pada penurunan bendera penjajah dan berkibarnya panji negara, namun menuntut kesinambungan dalam bentuk pengisian dan pengukuhan agar kebebasan yang dicapai benar-benar membuahkan kekuatan.

Pembebasan hanyalah langkah awal. Cabaran yang lebih berat adalah untuk membina tamkin, iaitu kekuatan bertahap, tersusun dan berstrategi yang memastikan bangsa teguh berdiri serta tidak kembali terjerumus dalam penjajahan baharu.

Dalam tradisi Islam, tamkin ialah kekuasaan yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Yusuf ayat 56 yang bermaksud, “Demikianlah Kami memberikan kedudukan kepada Yusuf di bumi Mesir.” Perkara ini bukan sekadar kerangka pemberdayaan seperti yang difahami di Barat, tetapi berakar daripada al-Quran, diperlihatkan melalui sirah fasa Makkah dan Madinah, dan menuntut umat Islam membina jati diri yang kukuh, institusi yang berkesan serta kepimpinan berwibawa.

Kebebasan sebagai Fitrah
Dalam konteks inilah karya Kebebasan dan Pembebasan: Perbahasan dalam Konteks Maqasid Syariah oleh Sheikh Dr. Ahmad al-Raisuni amat relevan dengan penegasan bahawa kebebasan merupakan fitrah manusia. Seruan kebebasan ialah seruan fitrah yang asli, ibarat tapak rumah kukuh sebelum didirikan bangunan. Tanpa fitrah ini, kebebasan akan menjadi rapuh. Pandangan ini selari dengan makna kemerdekaan kita yang bukan hanya bebas daripada penjajahan politik, malah bebas untuk membina bangsa dan negara atas asas fitrah yang benar.

Raisuni turut menekankan perbezaan antara kebebasan hakiki dengan kebebasan palsu.

Kebebasan hakiki membina kemanusiaan dan menegakkan kebaikan, manakala kebebasan palsu merosakkan dan menindas, seperti amalan budaya hiburan melampau yang akhirnya menzalimi diri sendiri dan orang lain.

Hal inilah yang perlu kita insafi dalam mengisi kemerdekaan. Bebas bukan bermakna bebas tanpa batas, tetapi bebas dengan nilai dan tanggungjawab.

Kebebasan Bersuara: Hak, Amanah dan Tanggungjawab
Islam meletakkan suara sebagai anugerah, bukan sahaja untuk menyatakan pandangan, bahkan sebagai amanah yang mengikat manusia dengan kebenaran. Kisah Nabi Adam a.s. yang diajar tentang nama benda oleh Allah SWT menjadi simbol kelebihan insan untuk belajar, memahami, dan menyatakan hakikat yang benar.

Rasulullah SAW dan para sahabat membuktikan bahawa kebebasan bersuara bukan sekadar melampiaskan pendapat, bahkan untuk menegakkan keadilan serta memperjuangkan nilai yang memuliakan masyarakat. Suara mereka menjadi saksi keberanian untuk menegur kezaliman, menyatukan umat dan memimpin perubahan.

Dalam konteks Malaysia, kebebasan bersuara harus difahami dengan roh yang sama, iaitu bukan ruang untuk memecahbelahkan atau menabur fitnah, tetapi wadah untuk membina perpaduan, menyuburkan budaya musyawarah, dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap nilai demokrasi yang adil. Apabila suara digunakan dengan bijaksana, hal yang demikian menjadi pemangkin kemajuan bangsa dan benteng terhadap segala bentuk penindasan.

Inspirasi dari Gaza: Peranan Malaysia
Semangat kebebasan yang fitri terpancar pada rakyat Gaza. Meskipun berdepan genosid dan penindasan, mereka tetap bertahan dengan kesabaran dan keberanian. Mereka mengajar kita bahawa kebebasan bukan sekadar laungan merdeka, tetapi perjuangan penuh pengorbanan. Dari mereka kita belajar bahawa suara mesti dipelihara untuk menegakkan kebenaran walau ditekan, dan hak mesti dipertahankan walau berdepan risiko nyawa.

Dalam ruang antarabangsa, Malaysia telah menzahirkan pendirian yang konsisten sebagai suara keadilan. Malaysia telah membuktikan kebolehan sebagai ejen penyatu dalam rundingan damai antara Kemboja dan Thailand yang akhirnya membuka jalan kepada perdamaian. Prinsip yang sama terus diterjemahkan dalam perjuangan Palestin. Malaysia bukan sahaja mengangkat isu ini sebagai hak kemanusiaan, malah berusaha menyatakan pendirian dan mempengaruhi pimpinan dunia lain demi membela mereka yang tertindas.

Firman Allah SWT, “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kamu kepadanya” (al-Anfal:61). Ayat ini menjadi pedoman bahawa kebebasan fitri menuntut kita berganding bahu, menghulur tangan, dan menyatukan langkah bersama bagi pembebasan mutlak Gaza dan Palestin dari penjajahan.

Malaysia MADANI Menghidupkan Tamkin
Dalam kerangka ini, tema Malaysia MADANI Rakyat Disantuni membawa makna yang mendalam. Kemerdekaan bukan hanya tentang politik, ekonomi atau teori pendidikan, bahkan tentang rakyat yang terbela maruahnya, terjamin haknya, dan terbuka ruang untuk berperanan sebagai insan merdeka.

Nilai rahmah, ihsan dan keadilan sosial yang ditekankan dalam Malaysia MADANI sejalan dengan semangat taḥarrur dan tamkin. Kebebasan mesti berpaksikan maqasid syariah, dan bukan tunduk pada hawa nafsu.

Aspirasi anak muda Malaysia jelas. Mereka mendambakan politik yang telus, menolak rasuah, menuntut pendidikan dan pekerjaan yang adil, serta mahu menjadi pencipta tamadun digital yang beretika. Mereka mahu kemerdekaan Malaysia dihubungkan dengan solidariti sejagat agar perjuangan umat yang tertindas mendapat gema dari tanah air merdeka ini.

Menghidupkan Semangat Kemerdekaan
Cabaran yang mendatang tidak sedikit. Neokolonialisme dalam bentuk ekonomi, teknologi dan budaya terus mencengkam. Polarisasi politik menggugat perpaduan. Kelesuan idealisme anak muda pula berpotensi menjadikan mereka sebagai pewaris tanpa arah.

Oleh itu, penting untuk kita kembali kepada semangat taḥarrur dan tamkin bagi membebaskan diri daripada belenggu, memperkukuh kekuatan, menetapkan garis perjuangan, dan mengisi kemerdekaan dengan visi membina sebaik-baik ummah.

Kemerdekaan sejati dicapai apabila kita bebas daripada penjajahan luar dan dalam, membina kekuatan yang tersusun, serta menyantuni seluruh rakyat dengan keadilan dan kasih sayang.

Marilah kita menjadikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 sebagai titik muhasabah bahawa perjuangan kita masih panjang. Dengan strategi bijaksana, visi luhur dan nilai yang mantap, insya-Allah kita mampu menegakkan kebenaran dan keadilan, menjadikan Malaysia sebuah negara merdeka yang bermaruah, dihormati dunia, berdaya saing, dan menjadi rahmat untuk seluruh alam.


Penulis merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi