Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 22:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Raub – Sebanyak 280 saudara baharu dari seluruh negeri Pahang diraikan dengan penuh bermakna dalam Majlis Santuni Saudaraku sempena Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran serta Penyampaian Inisiatif Makmur Peringkat Negeri Pahang pada Isnin.

Mereka menerima pelbagai bentuk sokongan yang menyeluruh, merangkumi bantuan kebajikan, sumbangan bakul makanan serta pengiktirafan tokoh melalui Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf dengan kerjasama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Lebih mengharukan, majlis ini turut menyaksikan tiga orang penduduk tempatan melafazkan syahadat dan memeluk Islam di hadapan ratusan tetamu, sekali gus menjadi simbol hijrah yang sebenar daripada kegelapan menuju cahaya hidayah.

Majlis peringkat negeri itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad yang hadir mewakili Menteri Besar Pahang.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Syed Ibrahim menegaskan bahawa penganjuran program ini merupakan cetusan idea Menteri Besar Pahang yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan saudara baharu dan masyarakat Orang Asli.

“Kerajaan negeri sanggup menyediakan peruntukan yang besar demi memastikan kebajikan saudara baharu dan komuniti Orang Asli terus terbela,” katanya.

“Hal ini menjadi bukti keakraban kerajaan negeri dengan rakyat, bahawa mereka tidak dibiarkan bersendirian dalam perjalanan hijrah ini,” tambahnya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili Menteri Besar Pahang ketika menyampaikan ucapannya.

Beliau menegaskan bahawa komitmen ini bukan sahaja berbentuk sokongan rohani, malah juga merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan sosial bagi memastikan saudara baharu benar-benar mampu berdikari dalam kehidupan.

Pada masa yang sama, beberapa orang individu diberikan pengiktirafan melalui penyampaian anugerah dalam majlis tersebut, antaranya termasuklah Azmani Nurdin dari Daerah Raub selaku penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Saudara Baharu, manakala Anugerah Daie Saudara Baharu disandang oleh Abdul Ghani Hussin, Nur Amieleen Tan Abdullah dan Muhammad Syafi Abdullah.

Sementara itu, Surau Kampung Orang Asli Sungai Bejuang, Jerantut juga dinobatkan sebagai Surau Kebenaran Jumaat Terbaik dan Kampung Pantos, Kuala Lipis pula memenangi Anugerah Kampung Orang Asli Terbaik.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YBhg. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Abdul Rahman serta Ketua Hakim Syarie Pahang, Yang Amat Arif (YAA) Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan bersama-sama dengan barisan pemimpin negeri dan masyarakat, ketua jabatan serta barisan kadi daerah.

Kredit Foto: Jabatan Agama Islam Pahang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi