Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam sejarah umat Islam, pemimpin besar lahir bukan semata-mata dari sekolah kepimpinan atau warisan jawatan. Mereka lahir daripada kesedaran hati, kebangkitan jiwa dan tindakan yang membumikan nilai. Hari ini, apabila dunia bergelut dengan ketidaktentuan dan jiwa umat semakin goyah, kita menyaksikan anak muda Muslim bangkit bukan sekadar sebagai penonton, bahkan sebagai pemain utama sejarah.
Zohran Mamdani, anak muda Muslim berusia 33 tahun, berdiri di pentas New York State Assembly bukan sekadar sebagai wakil rakyat, malah sebagai wakil nurani umat manusia. Zohran tidak hanya bersuara untuk kawasan yang diwakilinya. Lebih daripad itu, hatinya peka terhadap penderitaan di dalam dan di luar negerinya.
Zohran lantang menyuarakan keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas saban hari. Hal ini jelas menunjukkan keberanian luar biasa beliau di pentas politik Barat yang sering berat sebelah. Namun begitu, keprihatinannya tidak terhenti di situ. Sebagai anak muda yang hidup dalam denyut nadi rakyat, beliau juga berdiri bersama-sama penduduk New York City, iaitu sebuah kota yang gah di mata dunia tetapi menekan jiwa banyak warganya dengan kos sara hidup yang melambung tinggi.
Zohran memperjuangkan hak penyewa, menentang penindasan sistemik dalam perumahan, serta menuntut pembaharuan polisi agar rakyat biasa tidak terus terhimpit oleh tekanan hidup. Inilah pemimpin muda Muslim yang memahami bahawa keadilan tidak mengenal sempadan. Beliau memahami bahawa agama mengajar kita untuk sentiasa mempedulikan manusia sekeliling bukan sekadar terhadap umat sendiri, bahkan terhadap semua insan yang dizalimi oleh sistem.
Ucapannya tentang kekejaman, ketidakadilan dan penderitaan rakyat yang tidak berdosa menggambarkan betapa jiwa muda yang tersentuh oleh nilai dan iman boleh menggoncang ruang paling formal dalam demokrasi moden. Kisah ini bukan kisah luar yang asing dengan kita di Malaysia. Kisah ini menjadi cerminan harapan, bahawa di mana ada hati yang hidup, di situlah akan lahir pemimpin yang hebat.
Pada zaman ini, banyak pemimpin yang naik kerana suara, tetapi tidak bersuara kerana hati. Zohran membuktikan bahawa jiwa yang dibentuk oleh nilai agama, pengalaman hidup dan kesedaran sosial boleh mencipta gelombang perubahan meskipun dalam sistem yang tampak asing.
Jika seorang pemuda Muslim mampu berdiri lantang di tengah kota kapitalis, bagaimanakah pula halnya dengan anak muda kita yang dibesarkan dalam naungan Islam dan budaya timur yang penuh hikmah?
Soalnya bukan lagi tentang “boleh atau tidak”, tetapi tentang bilakah dan bagaimanakah kita menyediakan medan dan bimbingan untuk anak muda menjadi pemimpin dengan roh, dan bukan sekadar dengan gelaran.
Segala-galanya bermula dengan kesedaran. Bukan sekadar tahu apa-apa yang berlaku, bahkan merasakan dengan hati bahawa ketidakadilan itu menyakitkan; dan bahawa kezaliman bukan sekadar tajuk berita, tetapi luka umat yang belum sembuh. Kesedaran ialah detik ketika hati kita berhenti untuk memerhati dan mula menginsafi sesuatu perkara.
Anak muda yang benar-benar memimpin ialah orang yang melihat dunia bukan sekadar melalui maklumat, tetapi melalui mata hati. Mereka merasakan kesengsaraan saudara di Palestin, mereka tersentuh dengan penderitaan warga marhaen, mereka tergugah apabila melihat bumi tercemar – bukan kerana disuruh, tetapi kerana jiwa mereka masih hidup.
Kesedaran ini bukan hanya tentang fakta, bahkan keberanian untuk melihat diri sendiri dengan jujur untuk mengakui kelemahan, kealpaan dan keperluan kepada Tuhan. Hal ini mempunyai perkaitan dengan hubungan yang perlu dipulihkan; hubungan kita dengan Allah SWT yang kadang-kadang dilupakan; hubungan dengan diri yang sering diabaikan; hubungan dengan masyarakat; dan hubungan dengan alam yang kita rosakkan tanpa sedar.
Kesedaran inilah akar kepada perubahan. Tanpa hati yang sedar, kita tiada arah. Tanpa jiwa yang terjaga, maka tiada pergerakan. Kebangkitan bukan sekadar reaksi spontan, namun hasil daripada iman yang tertanam dan nilai yang meresap dalam darah perjuangan. Hati yang sebelum ini lembut dan sunyi berubah menjadi jiwa yang kuat dan berani. Berani berkata “tidak” kepada kebatilan, berani memikul tanggungjawab, dan berani berdiri di medan kebenaran walaupun berseorangan.
Inilah jiwa anak muda yang tidak rela membiarkan saudara seagama ditindas atau bangsanya hanyut tanpa pedoman. Anak muda ini tidak menunggu semua orang untuk sedar. Kebangkitan yang lahir daripada hati ini akan membentuk peribadi yang tidak mudah dibeli, tidak mudah goyah dan tidak mudah menyerah. Apabila iman bertemu ilmu dan apabila nilai bertemu tindakan, maka lahirlah anak muda yang bukan sekadar simbol, bahkan penyambung risalah perjuangan.
Malaysia mempunyai jutaan bakat muda yang penuh daya fikir, daya cipta dan semangat juang. Namun begitu, perkara yang diperlukan oleh mereka ialah ruang yang amanah, bimbingan yang jujur, dan silibus hidup yang membentuk mereka sebagai khalifah, bukan sekadar tenaga kerja.
Kita perlu melahirkan pemimpin muda yang tidak kehilangan hati dalam dunia yang mengejar angka; yang hubungan mereka dengan Tuhan tidak putus; yang mengenali diri sendiri dan batas nafsu; yang menyantuni orang lain dengan kasih dan empati; dan yang melihat alam ini sebagai amanah, bukan sumber eksploitasi. Inilah kepimpinan berjiwa hamba, iaitu pemimpin yang tidak mencari pangkat, namun mencari keredaan Allah SWT dalam setiap amal.
Jika kita ingin membina semula tamadun, mulakanlah dengan jiwa anak muda. Mereka bukan sahaja perlu diberi ilmu, tetapi juga makna di sebalik ilmu itu. Mereka bukan sekadar diajar teori, malah dibimbing untuk mengenal Tuhan dan diri. Mereka juga bukan hanya dibentuk sebagai pekerja, bahkan diasuh sebagai pewaris peradaban.
Hanya hati yang hidup mampu memimpin dunia yang sedang sakit.
Penulis merupakan Profesor Madya Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia.