Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 23:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sahibul Fadhillah Timbalan Mufti Pahang, YBhg. Dato’ Haji Badli Shah Alauddin menyeru agar masyarakat khususnya di Pahang menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi dalam kemajuan pembangunan negeri agar kehidupan lebih diberkati.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah bertajuk “60 Tahun Membina Kemajuan: Keseimbangan Duniawi dan Ukhrawi” sempena Majlis Doa Selamat dan Ceramah Perdana Sambutan 60 Tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Indera Mahkota, pada 31 Julai 2025, di sini.

Beliau menjelaskan bahawa sebarang bentuk pembangunan yang berteraskan keimanan tentunya diberikan ganjaran pahala dan bermakna buat seluruh masyarakat.

“Keupayaan sesebuah organisasi khususnya PKNP bertahan untuk suatu tempoh yang panjang sehingga bersilih ganti pentadbirannya bukan hanya dilihat sebagai kejayaan semata-mata, bahkan membuktikan bahawa amanah yang digalas oleh pemimpin terdahulu hingga kini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan pembangunan negeri teratur serta merealisasikan visi negeri ini,” kata beliau.

Beliau turut menyeru agar masyarakat sentiasa berterima kasih dan mensyukuri segala nikmat kemajuan yang dikecap sehingga berupaya hidup dalam keadaan yang selesa dan harmoni.

“Bersyukur bukan perkara mudah untuk dilakukan, tetapi dengan bersyukur, keberkatan akan bertambah-tambah dalam kehidupan,” ujarnya.

Allah berfirman sebanyak 31 kali dalam Surah al-Rahman yang bermaksud, ‘Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?’ untuk mengajak manusia mensyukuri nikmat-Nya.

Selain itu, beliau turut menekankan agar setelah mencapai pembangunan dan kemajuan, masyarakat perlu bersyukur dan sentiasa bekerja dengan lebih kuat supaya keseimbangan duniawi dan ukhrawi dapat dicapai secara bersama.

Yang turut hadir ialah Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang; YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP; dan tetamu jemputan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi