Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa, ‘Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya yang beriman antara mereka dengan Allah dan hari kemudian.’ Allah berfirman, ‘(Permohonanmu itu diterima) dan kepada orang kafir pun Aku beri kesenangan sementara (di dunia), kemudian Aku paksa (dengan menyeret) mereka menjalani seksaan neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.’”
(Surah al-Baqarah 2:126)
Keamanan merujuk keadaan aman, sentosa dan tenteram. Keamanan ialah kurniaan Ilahi – nikmat berharga yang mempengaruhi kehidupan; membolehkan manusia hidup selamat, bebas daripada ketakutan, boleh melaksanakan urusan harian, menyempurnakan ibadat, serta menumpukan usaha membangunkan ummah dan negara, seterusnya menikmati kebahagiaan.
Rasulullah SAW menggambarkan nikmat keamanan melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesiapa antara kalian yang berpagian dengan keadaan aman dalam lingkungan tempat tinggalnya, sihat tubuhnya dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seakan-akan dunia telah dikumpulkan untuknya.”
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Kita amat bersyukur kerana negara Malaysia ketika ini berada dalam suasana aman dan damai, serta bebas daripada ancaman yang mengganggu gugat keselamatan negara.
Sebuah agensi penting yang dipertanggungjawabkan mengawal selia, menyelaras dasar dan tindakan keselamatan negara ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN). MKN ditubuhkan secara rasmi pada 7 Julai 1971 berdasarkan keputusan Jemaah Menteri susulan tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 – detik hitam dalam sejarah negara yang telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya pengurusan keselamatan yang terancang, sistematik dan menyeluruh. Peristiwa pahit 13 Mei 1969 menjadi peringatan penting kepada rakyat Malaysia agar sentiasa menjaga keharmonian, mengelakkan sentimen perkauman dan mengutamakan perpaduan demi keamanan negara.
Dunia hari ini sedang menghadapi pelbagai bentuk cabaran keselamatan baharu. Antaranya termasuklah ancaman siber, ekstremisme (fahaman pelampau), bencana alam, keterjaminan makanan dan kesihatan global. Oleh itu, negara memerlukan kesedaran dan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak untuk menghadapi dan menangani cabaran tersebut. Dasar dan sistem yang digubal tidak cukup ampuh untuk menjamin keamanan serta kemakmuran negara tanpa sokongan dan penyertaan masyarakat.
Sejarah Islam membuktikan bahawa keamanan serta kemakmuran negara dicapai dan terpelihara sekiranya peranan dan kerjasama berjaya dipupuk dalam kalangan masyarakat. Pada zaman Rasulullah SAW, Piagam Madinah dijadikan asas untuk menyatukan pelbagai puak, kabilah, kaum dan agama, yang merangkumi muhajirin Makkah, Ansar Madinah, Muslim serta Yahudi dalam sebuah masyarakat yang berkongsi tanggungjawab kemasyarakatan dan keselamatan.
Piagam Madinah menjamin setiap pihak diberi hak secara adil dan saksama tanpa pilih kasih atau penindasan. Kebebasan beragama dijamin. Sebarang pertikaian diselesaikan secara telus, adil dan saksama dengan merujuk Rasulullah SAW sebagai pemimpin dan hakim.
Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama dalam sejarah tamadun manusia yang meletakkan asas pemerintahan berlandaskan kedaulatan undang-undang dan bukannya bertuankan manusia. Hasilnya, semua anggota piagam berjanji mempertahankan Madinah daripada musuh luar dan menjaga keamanan dalam negeri, serta menolak pengkhianatan dan perpecahan.
Sesungguhnya, tugas memelihara keamanan merupakan tanggungjawab bersama, yakni tanggungjawab yang menuntut kesedaran dan peranan semua pihak. Tanggungjawab ini tidak terletak hanya pada bahu pihak tertentu. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya:
Perumpamaan orang yang menjaga batasan Allah dan orang yang melanggarnya adalah seperti satu kaum yang berada dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila orang yang berada di bawah ingin mendapatkan air, mereka terpaksa melalui orang yang berada di atas lalu menyusahkan mereka. Lalu mereka berkata, ‘Kalau kita buat satu lubang di bahagian kita (dasar kapal), kita tidak akan menyusahkan orang di atas. Jika orang di atas membiarkan mereka melakukan apa-apa yang mereka mahu, maka semua akan binasa. Akan tetapi, jika mereka menahan tangan mereka (menghalang perbuatan itu), maka mereka semua akan selamat.
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Lantaran itu, terdapat beberapa peranan yang harus dipenuhi oleh masyarakat dalam usaha memelihara keselamatan negara seperti:
Pertama: Setiap rakyat bertanggungjawab menjaga tutur kata dan tidak menyebarkan fitnah. Dalam era digital kini, penyebaran maklumat berlaku dengan pantas, terutama melalui media sosial. Fitnah, hasutan dan kata-kata berunsur perkauman serta keagamaan boleh mencetuskan pertikaian dan menggugat hubungan harmoni antara rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Kedua: Rakyat perlu peka terhadap sebarang ancaman keselamatan dan tidak boleh berdiam diri terhadap kegiatan yang mencurigakan dalam masyarakat seperti kegiatan ekstremis (pelampau), ajaran agama, perhimpunan atau kemunculan kumpulan yang meragukan, kehadiran warga asing, penyeludupan, penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga.
Ketiga: Rakyat bertanggungjawab melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara yang mencurigakan. Kejadian buruk boleh dielakkan dan langkah pencegahan dapat dirintis apabila masyarakat segera melaporkan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 18 Julai 2025, bertajuk “Memelihara Keamanan Negara Tanggungjawab Bersama”)