Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap tahun, umat Islam di seluruh dunia menyambut Awal Muharam, iaitu permulaan kepada tahun baharu Hijrah. Awal Muharam merupakan suatu simbolik kebangkitan rohani, perubahan ke arah kebaikan dan pengukuhan iman.
Apakah makna hijrah pada hari ini? Bagaimanakah masyarakat moden dapat menghayati Awal Muharam dalam dunia penuh cabaran?
Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah sekadar peristiwa perpindahan fizikal, bahkan menjadi lambang pengorbanan, strategi, harapan dan pembinaan peradaban. Awal Muharam diangkat sebagai permulaan kalendar Islam oleh Sayidina Umar al-Khattab untuk memperingati momen perubahan besar dalam sejarah umat Islam.
Hijrah ialah lambang keberanian meninggalkan keburukan dan menuju kebaikan. Hijrah juga seruan untuk seseorang berani berubah walau dengan risiko dan cabaran yang besar.
Hijrah Moden: Cerminan Diri dan Transformasi Masyarakat
Dalam era moden dan ledakan teknologi, tekanan hidup yang kian meningkat, serta pelbagai konflik sosial dan global, konsep hijrah bukan lagi hanya tertumpu pada sejarah fizikal Nabi Muhammad SAW berpindah dari Makkah ke Madinah, sebaliknya perlu ditafsirkan sebagai suatu proses transformasi dalaman dan luaran. Transformasi ini melibatkan perubahan akhlak, pembaikan pemikiran, serta peningkatan dalam tindakan harian yang lebih bermakna dan bermanfaat.
Hijrah moden merupakan seruan untuk berhijrah daripada kealpaan kepada kesedaran. Daripada hidup dalam rutin harian tanpa arah atau nilai, kita perlu sedar akan tujuan sebenar kehidupan, iaitu untuk beribadah, memberikan manfaat, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kesedaran ini mendorong kita menilai semula prioriti hidup, tingkah laku, serta hubungan kita dengan manusia dan Tuhan.
Hijrah moden juga bererti berhijrah daripada sikap individualistik kepada kepedulian sosial. Di dunia yang penduduknya semakin mementingkan diri, hijrah moden menyeru kita untuk kembali memupuk rasa empati dan kebersamaan. Hal ini menuntut kita menjadi insan yang peka terhadap kesusahan orang lain, sama ada dengan menyalurkan bantuan, memberikan sokongan moral, ataupun melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang membawa kebaikan bersama.
Hijrah pada hari ini juga berbentuk seruan untuk umat Islam meninggalkan kelalaian terhadap kewajipan agama. Hijrah mengajak kita memperbaharu semangat untuk beribadah, misalnya melazimi solat berjemaah, memperbanyak bacaan al-Quran, berpuasa sunat, serta menjadikan doa dan zikir sebagai pengikat hati dengan Tuhan.
Dengan menjadikan hijrah sebagai proses berterusan yang melibatkan perubahan berasaskan nilai Islam, umat Islam mampu menjadi agen perubahan bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan bagi masyarakat dan dunia yang lebih harmoni, adil dan berperikemanusiaan.
Tahun Baharu, Jiwa Baharu
Awal Muharam 2025 bukan sekadar perubahan tarikh, bahkan menjadi peluang untuk seseorang mencipta versi diri yang lebih baik. Usah biarkan tahun baharu Hijrah berlalu tanpa makna. Jadikan Awal Muharam ini sebagai saat peralihan daripada kehambaan dunia kepada kehambaan sejati kepada Tuhan.
Pada tahun ini, ayuh kita berhijrah dengan niat, usaha dan hati yang bersih. Allah SWT berfirman yang bermaksud,
… Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah al-Ra‘d 13:11)
Salam Maal Hijrah 1447H.