Diterbitkan pada 24 Jun 2025, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Masyarakat Islam disarankan untuk menceburi pelaburan patuh syariah bagi mengelakkan penipuan dan unsur yang dilarang dalam Islam.

Seruan ini dinyatakan dalam forum “Pelaburan Patuh Syariah: Pelaburan Berkat Hati Tenang” anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 21 Jun 2025 di pentas utama ruang legar East Coast Mall, di sini.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim bertindak sebagai ahli panel forum “Pelaburan Patuh Syariah: Pelaburan Berkat Hati Tenang” anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 21 Jun 2025 di East Coast Mall, Kuantan.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, “Ketika membuat pelaburan, terdapat beberapa perkara yang perlu dielakkan, iaitu pelaburan yang mempunyai unsur riba, pelaburan yang menggunakan instrumen berbentuk perjudian, dan pelaburan yang mempunyai unsur gharar.”

“Melaburlah dalam institusi yang berdaftar, Insya-Allah selamat,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, “Negara kita telah memperkukuh sistem kewangan Islam dengan struktur yang jelas untuk dirujuk berkenaan pematuhan syariah.”

“Jika pentadbir pelaburan sendiri yang tidak patuh syariah, mereka boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat harus berhati-hati agar tidak terpedaya dengan penipuan pelaburan yang menggunakan imej islamik untuk mengaburi mata pelabur.

Beliau turut menasihati masyarakat agar menilai prestasi pihak pelaburan dan memastikan sumbernya halal agar mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

Semua pelaburan ada untung dan ruginya.

“Pelaburan patuh syariah tidak menjanjikan keuntungan semata-mata.

“Jika berlaku kerugian, pasti ada kekurangan dalam pengurusannya; namun apabila mendapat keuntungan, tunaikanlah zakat dan berilah sedekah,” ujarnya.

Kredit Foto: Facebook InvestSmart SC
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi