Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud,
Tidaklah seseorang hamba menutupi (aib) seseorang hamba (yang lain) di dunia melainkan Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.
Kisah pergolakan rumah tangga sering tular dalam media sosial apabila pasangan suami isteri mendedahkan keaiban masing-masing secara terbuka, termasuklah melalui siaran langsung. Hal ini seakan-akan menjadi trend terutamanya yang melibatkan golongan terkenal seperti pempengaruh, sehingga masyarakat mudah membuat penilaian tanpa mengetahui cerita sebenar daripada kedua-dua pihak.
Dalam kehidupan berumah tangga, suami isteri perlu saling melengkapi dan memahami bahawa tiada manusia yang sempurna. Kesilapan pasangan wajar ditegur dengan penuh hikmah, selari dengan ajaran Islam yang mengutamakan silaturahim dan menjaga hubungan sesama manusia. Oleh itu, segala tindakan yang boleh membawa kepada perpecahan rumah tangga harus dielakkan kerana bertentangan dengan syarak.
Islam melarang perbuatan mendedahkan keaiban pasangan kepada orang yang tidak berhak dalam hubungan suami isteri, sama ada melalui perbualan, media sosial ataupun pihak ketiga. Tindakan ini bukan sahaja memalukan pasangan, bahkan turut menjejaskan maruah keluarga. Pada hakikatnya, konflik dalam perkahwinan merupakan perkara biasa dan setiap hubungan pasti diuji dari semasa ke semasa.
Tindakan mendedahkan aib pasangan, terutamanya melalui media sosial, merupakan perbuatan yang dilarang kerana boleh merosakkan keharmonian rumah tangga dan membuka ruang fitnah. Tindakan ini memberikan kesan buruk bukan sahaja terhadap pasangan, malahan kepada institusi keluarga secara keseluruhan lebih-lebih lagi apabila dilakukan tanpa mengikut saluran yang betul atau tanpa mendengar kedua-dua pihak secara adil.
Allah SWT mengingatkan manusia agar berhati-hati dan bertabayun terlebih dahulu sekiranya kita mendengar khabar tentang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak mengetahui kesahihannya. Dalam Surah al-Hujurat ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seseorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini oleh sebab kejahilan kamu (tentangnya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa-apa yang telah kamu lakukan.”
Berdasarkan perintah ini, Imam al-Syaukani dalam Fath al-Qadir menyatakan bahawa tabayun yang sebenar bermaksud memeriksa dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, serta melihat dengan keilmuan yang mendalam terhadap sesuatu peristiwa dan khabar yang datang, sehingga menjadi jelas dan terang bagi seseorang.
Selain itu dalam kitab Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, Ibn Jarir menyatakan bahawa tabayun bererti menangguhkan seketika maklumat atau berita yang sampai kepada seseorang sehinggalah dia memiliki pengetahuan (makrifah) dan yakin akan kebenarannya. Seseorang tidak boleh bersikap gopoh dalam penerimaan sesuatu berita tanpa melakukan usul periksa tentang kesahihan berita tersebut.
Dalam Surah al-Baqarah ayat 187, Allah SWT berfirman yang bermaksud,
Mereka (isteri-isterimu) merupakan pakaian bagimu dan kamu merupakan pakaian bagi mereka.
Ketika mensyarahkan ayat ini, Imam al-Tabari menyatakan bahawa setiap pasangan suami isteri diibaratkan sebagai tempat tinggal yang memberikan ketenangan dan ketenteraman antara satu dengan lain. Mereka juga seperti selimut atau kain yang menutupi pasangannya, maka seharusnya mereka menutup segala hal peribadi pasangan daripada diketahui orang luar. Namun demikian, jika seorang daripada pasangan bermudah-mudah dengan mendedahkan aib pasangannya, maka seolah-olah mereka membiarkan diri tanpa pakaian atau sesuatu yang menutupi diri.
Dalam sesebuah perkahwinan, perselisihan faham antara pasangan suami isteri merupakan suatu lumrah, meskipun hanya melibatkan perkara kecil dan remeh. Namun begitu, jika tidak ditangani dengan bijak dan wujud pula campur tangan pihak ketiga, konflik tersebut boleh berlarutan sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga. Situasi menjadi lebih parah apabila isu kecil dibesar-besarkan sehingga mencetuskan rasa tercabar, lalu mendorong sesetengah individu bertindak melulu dengan mendedahkan aib serta hal peribadi pasangan kepada umum dan sekali gus meruntuhkan kepercayaan yang telah dibina.
Berkaitan dengan perkara ini, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, “ … Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu berasa jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Berdasarkan ayat ini, Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah SWT melarang hamba-Nya yang beriman daripada bersangka buruk, iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat terhadap orang lain mahupun ahli keluarga terdekat. Perbuatan ini termasuk dalam dosa besar kerana jelas larangannya. Oleh itu, para ulama juga bersepakat tentang pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya.
Dalam hadis riwayat Muslim, daripada Abu Sa‘id al-Khudriy, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah seseorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.
Walaupun hadis tersebut merujuk suami, hal ini tidak bermakna isteri bebas mendedahkan keaiban pasangannya kepada orang lain tanpa mematuhi adab dan panduan yang ditetapkan oleh syarak. Para fuqaha seperti Ibn ‘Abbas, Imam al-Qurṭubi dan Mujahid berpandangan bahawa hadis ini berkaitan rapat dengan hubungan intim suami dan isteri. Sementara itu, al-Hirawi dan al-Kalbi mentafsirkan hadis tersebut secara lebih umum, iaitu meliputi keseluruhan aspek hubungan suami isteri. Syeikh Abdullah al-Bassam pula ketika menghuraikan hadis ini menjelaskan bahawa aib yang terdapat pada pasangan seperti bentuk anggota badan termasuk dalam rahsia pasangan suami isteri yang tidak wajar diketahui orang lain serta merupakan maruah yang perlu dijaga.
Bagi memperoleh hikmah seperti kemuliaan pada pandangan Allah SWT serta memelihara maruah pasangan, setiap pasangan haruslah bermuhasabah kembali tujuan perkahwinan, antaranya termasuklah untuk mendapatkan kebahagiaan dalam kehidupan. Jadikanlah kisah yang berlaku kepada Hindun Ummu Mu‘awiyah yang pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang suaminya, Abu Sufyan yang sangat kedekut kepada ahli keluarganya sebagai iktibar kepada kita. Hindun merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang arif dan berautoriti, iaitu Nabi Muhammad SAW bagi menyelesaikan isu kekeluargaan yang dihadapi olehnya.
Jika diteliti, membuka keaiban orang lain sememangnya dilarang, apatah lagi mendedahkan keaiban pasangan hidup sendiri yang begitu hampir dengan diri seseorang. Andai berlaku salah faham atau perselisihan, lakukan perbincangan secara baik terlebih dahulu. Jika masih tidak menemukan jalan penyelesaian, rujuklah kepada pihak yang sewajarnya, seperti mendapatkan khidmat kaunseling di pejabat agama atau merujuk individu yang berilmu dan berautoriti dalam hal kekeluargaan.