Diterbitkan pada 18 Jun 2025, 23:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkat ilmu, banyak berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahir banyak fitnah dan berlaku banyak pembunuhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1036)

Negara kita masih lagi berdukacita akan musibah yang meragut nyawa sebanyak 15 orang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada minggu lalu. Perjalanan bas dari Pantai Timur itu sepatutnya berakhir di Tanjung Malim, iaitu pusat pengajian mereka, namun bertukar tragedi apabila bas tersebut ditimpa kemalangan.

Ketika ini, pelbagai reaksi dikongsi oleh masyarakat berhubung dengan insiden kemalangan tersebut, terutamanya dalam media sosial. Banyak yang menzahirkan perasaan simpati dan sedih, namun tidak kurang juga yang terbawa-bawa oleh emosi sehingga menimbulkan tohmahan serta menuding jari ke arah pihak tertentu. Bagi menghadapi situasi sebegini, sebaik-baiknya kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menentukan tindakan yang wajar.

Persoalan yang seharusnya kita renung bersama, adakah kita bersedia menghadapi detik kematian yang datang tanpa mengira masa atau usia? Bagaimanakah hubungan kita dengan al-Quran? Mampukah kita mencontohi keteguhan Allahyarhamah Nurly Shahirah yang begitu dekat dengan al-Quran sehingga akhir hayatnya?

Peristiwa ini seharusnya menjadi medan muhasabah yang menimbulkan keinsafan dalam diri kita. Padanya mungkin terkandung peringatan halus bahawa ilmu boleh hilang dari muka bumi dengan pelbagai cara, termasuklah dengan kembalinya para penuntut ilmu ke sisi Allah SWT. Setiap kejadian yang berlaku bukan sekadar ujian, bahkan peluang untuk kita merenung kembali makna kehidupan, nilai ilmu, dan keikhlasan kita menghargainya.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu seperti mencabutnya daripada hamba secara literal. Akan tetapi, Allah mencabut (menghilangkan) ilmu dengan cara mewafatkan para ulama sehingga apabila tiada lagi ulama, maka manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang jahil. Ketika mereka ditanya tentang sesuatu, maka mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan.”

Walaupun pelajar tersebut masih belum mencapai tahap ulama, namun mereka merupakan penuntut ilmu yang bakal menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Jadikanlah pemergian mereka sebagai titik tolak untuk kita yang masih diberi peluang di muka bumi ini, supaya menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh agar dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.

Sesungguhnya kematian sentiasa dekat dengan kita. Kematian tidak mensyaratkan seseorang untuk sakit, miskin, mahupun tua. Cukup sekadar hidup, sudah melayakkan kita untuk menjadi jenazah yang tidak lagi bernyawa.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Orang yang cerdik (yang berakal) ialah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) ialah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Dunia ini hanyalah tempat persinggahan yang bersifat sementara; tempat mengumpul amal untuk dibawa sebagai bekalan hari akhirat yang abadi. Oleh itu, persiapkanlah diri kita sebaik-baiknya sebelum ajal datang berkunjung. Renungilah kata Imam Hasan al-Basri, “Beramallah seolah-olah kamu akan mati pada esok hari, dan bekerjalah seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya.”

Hiduplah bersama-sama al-Quran. Jadikan kalamullah ini sebagai sumber rujukan kita yang utama ketika menjalani kehidupan. Al-Quran bukan sahaja mengandungi sejarah manusia terdahulu, malah menceritakan keadaan masa hadapan seperti kiamat, hari akhirat, syurga dan neraka, bahkan juga dilengkapi dengan doa yang boleh kita amalkan sehari-harian. Alangkah beruntungnya orang yang sentiasa bersahabat dengan al-Quran.

Pemergian pelajar UPSI ini benar-benar merupakan suatu kehilangan besar buat seluruh masyarakat, khususnya umat Islam, lebih-lebih lagi insiden ini berlaku ketika umat Islam baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga ahli keluarga dan sahabat mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk mengharungi ujian ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi