Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Usaha berterusan untuk memperkasakan sistem zakat di Melaka membuahkan hasil apabila jumlah kutipan zakat negeri itu mencecah nilai RM59.8 juta setakat suku kedua tahun ini.

Hal tersebut merupakan satu lonjakan positif yang mencerminkan peningkatan kesedaran umat Islam terhadap kewajipan menunaikan zakat.

Zakat pendapatan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu sebanyak RM31.8 juta, diikuti zakat wang simpanan (RM11.7 juta), zakat perniagaan (RM7.8 juta), dan zakat fitrah yang menunjukkan peningkatan kepada RM6.6 juta, berbanding dengan RM6.1 juta pada tahun sebelumnya.

Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri, YB Datuk Rais Yasin, dalam ucapannya mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam Majlis Penutupan Simposium Zakat 2025 (SiPZ25), baru-baru ini.

Pencapaian cemerlang ini bukan sekadar angka.

“Pencapaian ini membuktikan kepercayaan umat Islam terhadap sistem zakat negeri dan menjadi pemangkin utama untuk memperluas bantuan kepada golongan asnaf serta memperkukuh ekosistem sosioekonomi Islam,” kata Datuk Rais.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pendekatan agresif Zakat Melaka melalui kempen kesedaran dan kolaborasi strategik, selain penekanan berterusan oleh Ketua Menteri Melaka dalam usaha menyeru penjawat awam agar tidak culas menunaikan zakat.

Menurut beliau, penganjuran SiPZ25 selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Melaka untuk membentuk sistem pengurusan zakat yang lebih cekap, telus dan berkesan, sejajar dengan cabaran semasa dan keperluan rakyat.

“Simposium ini bukan sekadar platform perbincangan, malah menjadi medan strategik merangka dasar dan hala tuju baharu pengurusan zakat di negara ini,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu; dan Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi