Diterbitkan pada 21 Mei 2025, 22:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejarah pengaruh tamadun Islam di wilayah tertentu di Asia Tenggara dan kewujudan kerajaan ataupun kesultanan di wilayah tersebut dibuktikan dengan penggunaan cap mohor atau dikenali sebagai cap Melayu secara meluas yang hampir semuanya mengandungi tulisan Jawi dan bahasa Arab padanya.

Ketua Kurator Bahagian Asia Tenggara, Perpustakaan British, London, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop berkongsi hasil kajiannya berkenaan dengan cap mohor dalam Wacana Manuskrip Melayu Bilangan 2/2025 bertajuk “Rahsia Keagungan Cap Mohor Manuskrip Melayu”, anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, secara maya, semalam.

“Ciri agama Islam dan maklumat yang tertera pada cap mohor seperti nama, gelaran sultan, tempat dan tarikh yang digunakan secara tepat menjadi sumber sejarah yang amat penting di Asia Tenggara khususnya berkaitan dengan pengaruh tamadun Islam,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa berdasarkan bukti yang ada, penggunaan cap mohor secara teratur pada surat kerajaan bermula pada awal kurun ke-17 setelah pedagang Belanda mula datang ke Asia Tenggara.

Menurut beliau, hal ini disebabkan keperluan untuk menandatangani surat perjanjian yang mesti disahkan dengan penurunan tanda tangan dan pemeteraian cap mohor.

“Pada ketika itu, hanya sultan, kerabat, keluarga diraja dan pegawai kerajaan yang dilantik yang berhak mempunyai dan menggunakan cap mohor sebagai simbol kekuasaan dan kedaulatan kerajaan dalam urusan rasmi,” ujar beliau.

Dalam wacana tersebut, beliau turut berkongsi bahawa cap mohor tertua dari semenanjung Tanah Melayu yang diketahui ialah cap mohor Sultan Pahang, Sultan Alaudin Riayat Shah, yang terdapat pada surat perjanjian dengan Portugal pada tahun 1615 yang mencerminkan pengaruh Aceh.

Beliau menerangkan bahawa terdapat beberapa ciri khas lain pada cap mohor yang menjadi pengenalan kepada sesebuah kerajaan ataupun negeri dan menjadi identiti istimewa seseorang sultan.

Antara cap mohor yang bertulisan Jawi dan mengandungi bahasa Arab.

“Sebagai contoh, cap mohor kerajaan Aceh berbentuk khas, iaitu cap mohornya mempunyai satu bulatan di tengah yang mengandungi nama sultan yang sedang bertakhta dan lapan bulatan kecil di sekelilingnya yang mengandungi nama para sultan terdahulu.

“Selain itu, cap mohor Sultan Perak pula kebiasaannya berbentuk bunga berkelopak 16 dan cap mohor Sultan Muda/Tengku Mahkota berkelopak 15,” jelasnya.

Katanya lagi, cap mohor sultan dan pembesar kerajaan Palembang pula terkandung nama negeri dengan istilah khas iaitu fi balad Palembang Dar al-Salam.

Seterusnya, cap mohor Sultan Selangor mengandungi petikan ayat al-Quran dari Surah al-Nisa’, ayat 59 yang bermaksud, “Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan orang yang berkuasa antara kamu.”

Cap mohor kerajaan Sulu pula mengandungi penggunaan bentuk puisi dengan istilah keagamaan yang berbunyi hampir sama dengan nama sultan.

Contohnya, cap mohor Sultan Muhammad Azimuddin mengandungi gelaran al-mutamassik bi habl Allah al-Matin dan cap mohor Sultan Muhammad Jamalul Kiram mengandungi gelaran al-qahir bi-amr al-Malik al-‘alam.

Sementara itu, cap mohor Raja Abdullah di Lingga pula ditulis dengan khat muthanna dengan gaya tulisan bercermin yang menjadi sangat popular di Riau pada abad ke-19.

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Annabel Gallop menyimpulkan bahawa penggunaan cap mohor oleh para sultan, pembesar negeri, ketua kerajaan dan wakil kerajaan membuktikan keagungan cap mohor suatu masa dahulu dipengaruhi oleh tamadun Islam yang meluas.

Kredit Foto: Perpustakaan Negara Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi