Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari guru disambut pada 16 Mei setiap tahun. Sambutan ini dilaksanakan bagi memberikan pengiktirafan kepada para guru atas segala jasa bakti mereka mendidik dan mengajar anak tanpa mengenal penat dan lelah. Pada hari yang sama juga, semangat guru membugar melalui pelbagai tema yang diperkenalkan.
“Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” – demikianlah tema hari guru bagi tahun 2025. Tema ini seiring dengan perubahan semasa yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan selari dengan perkembangan dunia pendidikan pada hari ini.
Umum mengetahui bahawa KPM sentiasa mengorak langkah untuk menambah baik kurikulum. Perkenalan Dokumen Kurikulum (DK) akan bermula pada tahun 2026 bagi peringkat prasekolah, kemudian pada tahun 2027 bagi peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. DK akan menggantikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang digunakan kini.
Perubahan ini penting untuk diselarikan dengan konteks semasa pada hari ini serta seiring dengan perkembangan dunia teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 yang menjadi cabaran besar bagi mempersiapkan anak untuk dunia akan datang.
Guru menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan hasrat ini. Tanpa iltizam, kesungguhan dan pengorbanan para guru, setiap perkara yang telah dirangka sejak beberapa tahun ini, mungkin tidak akan berjaya. Terkait dengan tema hari guru pada kali ini, guru perlu bertindak menjadi pemacu reformasi pendidikan. Maksudnya, tanpa guru, tidak mungkin reformasi pendidikan yang diidamkan akan menjadi realiti.
Persoalannya, apakah reformasi yang boleh dilakukan guru Pendidikan Islam (GPI) dalam pendidikan agama? Bagi membincangkan hal ini, perlu difahami bahawa GPI merujuk semua guru yang mengajar subjek seperti Pendidikan Islam, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz dan Maharat al-Quran dan seumpamanya.
Pertama, GPI perlu membetulkan niat dengan menanamkan keikhlasan dalam diri. Hanya orang yang ikhlas dan mempunyai jiwa sebagai guru akan memberikan sepenuh hati mereka untuk tugasan mendidik. Mereka tidak berkira tentang masa, tenaga, wang ringgit dan sentiasa berusaha sebaik-baik mungkin untuk memastikan pelajar mendapat bimbingan terbaik daripada mereka.
Kedua, GPI perlu memastikan matlamat akhir daripada pendidikan Islam adalah untuk menyucikan akidah, membetulkan ibadah dan memurnikan akhlak. Maksudnya, memastikan mereka menyelami rasa bertuhan dalam diri lalu memberikan kesan terhadap ibadah dan akhlak mereka yang sempurna. Bukan hanya memberikan fokus terhadap aspek kognitif semata-mata.
Pendidikan Islam bukan sekadar mengingati dan memahami sesuatu. Jika Pendidikan Islam difokuskan hanya pada hafalan dan kefahaman, maka pengisiannya akan menjadi kering dan tiada beza daripada subjek yang lain.
Ketiga, GPI tidak boleh terikat hanya dengan silibus dalam sesuatu subjek. Hal ini dikatakan demikian kerana Islam ialah agama yang luas dan bersifat ‘aini. Sentiasa ada ilmu lain yang boleh digabungjalinkan dengan Pendidikan Islam. Contohnya, pengajaran tentang kejadian alam dapat dikaitkan dengan akidah kerana kejadian alam ialah makhluk yang menjadi tanda bahawa adanya al-Khaliq. Gabung jalin ilmu dapat menambah makna dan rasa pada sesuatu ilmu itu.
Keempat, GPI tidak boleh hanya mengehadkan diri mereka mengajar di dalam kelas. Sebaliknya, pengajaran boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Dalam konteks GPI, GPI sendiri menjadi model hidup kepada ajaran Pendidikan Islam yang ingin diterapkan. Pelajar akan memandang GPI dan menjadikannya contoh ikutan dalam segala aspek kehidupan, terutamanya akidah, ibadah dan akhlak.
Bagaimanakah GPI menjalani kehidupan seharian? Bagaimanakah GPI berinteraksi dengan ketua dan rakan? Bagaimanakah reaksi GPI apabila berada dalam kesusahan dan menghadapi masalah?
Pelbagai lagi persoalan yang biasa berlaku dalam kehidupan akan dilihat oleh pelajar dan dijadikan pengajaran dalam kehidupan mereka sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Kelima, GPI tidak boleh sekali-kali berputus asa dengan pelajar dan berusaha sehabis baik untuk mendidik mereka. Usaha itu milik GPI dan hanya Allah SWT berhak menentukan hasilnya.
Pengajaran tidak terhenti hanya dengan tamatnya waktu persekolahan. Pengajaran tidak terhenti pada waktu cuti. Pengajaran tidak terhenti hanya dengan habisnya umur pelajar itu daripada mengikuti sesi persekolahan. Sebaliknya, pengajaran merupakan proses berpanjangan yang akan sentiasa dilalui selagi hayat dikandung badan.
Lima perkara yanmg dibincangkan ini mesti ada dalam diri GPI. Usaha, azam dan tawakal. GPI mesti terkedepan dan menjadi model guru terbaik bagi guru yang lain juga. Insya-Allah, GPI mampu menjadi agen reformasi pendidikan agama di Malaysia.
Jika baik pegangan agama rakyat, maka terubatlah keseluruhan sistem yang ada di Malaysia. Jika baik keseluruhan sistem yang ada di Malaysia, maka impaknya adalah pada pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang unggul di persada dunia.
Penulis merupakan Pensyarah Akademik di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar.