Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kerajaan Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak lagi meneruskan penajaan pelajar peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah mulai tahun ini.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, walaupun begitu, tajaan disediakan bagi penuntut peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) di rantau berkenaan.
“Penajaan hanya akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan pada peringkat ijazah pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko para pelajar daripada terdedah kepada pengaruh dan anasir yang mengganggu pemikiran serta jati diri pelajar jurusan pengajian Islam Selangor di Timur Tengah.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, bagi pelajar persendirian yang tidak mendapat tempat di dalam negeri atau memilih ke Timur Tengah dalam bidang pengajian Islam dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan diurus sepenuhnya oleh JAIS.
Beliau berkata langkah ini adalah bagi memastikan para pelajar benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental, mempunyai jati diri yang tinggi, menguasai bahasa Arab, serta memiliki pengetahuan dan keupayaan penting lainnya untuk menghadapi cara pembelajaran, suasana serta cabaran di Timur Tengah.
“Penajaan melanjutkan pengajian ke UIS pada peringkat ijazah pertama dilaksanakan sebagai suatu usaha memperkukuh ekosistem pendidikan agama JAIS yang telah wujud pada peringkat rendah dan menengah sejak sekian lama,” jelasnya.
Tambah beliau, UIS dipilih selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah terbukti mampu melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi ilmu dan akhlak, serta mampu memenuhi pasaran pekerjaan.
Menurut beliau, MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan sebarang permohonan pelajar yang telah tamat ijazah pertama pengajian Islam untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana atau doktor falsafah di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan tajaan daripada Lembaga Zakat Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor.
Katanya, tawaran bagi penajaan peringkat ijazah pertama pengajian Islam ke UIS atau universiti tempatan dan penajaan ke peringkat sarjana serta doktor falsafah di Mesir, Jordan dan Maghribi akan dikeluarkan melalui iklan pada bulan Jun 2025.
Tambahnya, sesi temu duga akan dilaksanakan untuk menentukan pelajar yang layak.