Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 28 April 2025, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gambang – Forum Bicara Syawal: “Membina Harga Diri, Menjaga Martabat Ummah” berjaya menyuntik semangat dan memperkukuh nilai kerohanian dalam kalangan pelajar Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh).

Program yang diadakan pada 25 April 2025 di Dewan Sri Perdana, KMPh itu menghimpunkan sebanyak lebih daripada 1000 orang pelajar bagi menghayati pengisian rohani pada bulan Syawal.

Ustaz Syamsul Debat sebagai panel dalam Forum Bicara Syawal: “Membina Harga Diri, Menjaga Martabat Ummah” di Kolej Matrikulasi Pahang pada 25 April 2025.

Penceramah jemputan, Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Syamsul Debat, menekankan kepentingan sahsiah diri, keyakinan, serta istiqamah dalam usaha menuntut ilmu.

“Pelajar perlu mempunyai jati diri yang kukuh dan sentiasa mempunyai keyakinan diri, fokus dengan persekitaran serta istiqamah dalam proses menuntut ilmu.

“Adab dan ilmu perlu selari untuk kita menjadi umat yang terbaik,” katanya ketika menyampaikan ceramah.

“Pelajar perlu mengejar dan mencapai kejayaan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Program, Nur Batrisyia Shariful Emran berkata, pelajar perlu mempunyai tujuan hidup yang jelas untuk membina keyakinan diri sepanjang perjalanan mencapai matlamat hidup.

Katanya, “Dengan adanya matlamat, seseorang akan sentiasa berusaha mencapainya dengan penuh fokus, mengetepikan perkara yang tidak berkaitan buat sementara waktu.”

“Sepanjang proses mencapai matlamat tersebut, keyakinan diri akan terbentuk secara beransur-ansur apabila aura serta tenaga positif yang terpancar daripada dirinya mula dirasai oleh orang di sekeliling,” ujarnya.

Program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP KMPh) ini bertujuan untuk memperkasakan sahsiah pelajar melalui pendekatan rohani.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah KMPh, Puan Latiza A. Latif, dan Timbalan Pengarah, Mohd Riedznan Sutrisno.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi