Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPekan – Sebanyak 1725 orang bakal jemaah haji dari Pahang menerima sumbangan istimewa menerusi Inisiatif Makmur Pahang (I.M. Pahang) 2025 sempena keberangkatan mereka ke Tanah Suci.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji dan Penyampaian I.M. Pahang yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, semalam.
Setiap jemaah menerima sumbangan wang tunai bernilai RM750, empat pek makanan retort “Juadah Makmur”, serta satu naskhah Buku Himpunan Doa Arafah hasil usaha ilmuwan dan pihak berautoriti agama negeri.

Menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited menjaga kebajikan rakyat termasuk jemaah haji.
Beliau berkata, “Saya mendoakan semoga semua bakal tetamu Allah SWT ini dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan fizikal dan rohani, serta kelapangan masa dan jiwa untuk menunaikan ibadah dengan sempurna.
“Semoga dianugerahkan haji yang mabrur, diterima segala doa, diampunkan segala dosa dan pulang sebagai insan yang lebih bertakwa, insya-Allah,” ujarnya.
Prestasi dipertingkat, kemakmuran dipertahan.
Turut dilancarkan dalam majlis ini ialah Buku Himpunan Doa Arafah setebal 136 muka surat yang menghimpunkan doa-doa warisan Rasulullah SAW dan para salafus soleh.
YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad menyifatkan buku itu sebagai “warisan rohani yang akan terus hidup bersama generasi” dan panduan penting buat jemaah ketika berwukuf di Arafah.
Daripada jumlah jemaah Pahang, sebanyak 719 orang ialah lelaki manakala sebanyak 1006 orang jemaah ialah wanita.
Penerbangan pertama jemaah haji dari Pahang dijadualkan pada 29 April 2025, manakala penerbangan terakhir pada 30 Mei 2025.
Jemaah termuda ialah Amsyar bin Mohamad Razaki, 16 tahun dari Muadzam Shah, manakala yang tertua ialah Hasan bin Jais, 86 tahun dari Bandar Tun Abdul Razak Jengka.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim; YB Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Zaliza Zulkipli; Pegawai Daerah Pekan, YH Tuan Azora @ Ahmad Shamsudin; Ketua Rombongan Haji Malaysia, Tuan Haji Hisham Harun serta ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.