Diterbitkan pada 13 April 2025, 21:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bayan Lepas – Sebanyak RM6,511,300.00 dana zakat telah disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Divisyen Projek Khas bagi membekalkan 8740 unit peranti tablet kepada 263 buah sekolah di seluruh negeri ini.

Majlis penyerahan peranti tersebut berlangsung di Olive Tree Hotel Penang, Bayan Lepas pada Jumaat lalu, dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP, YB Dato’ Dr. Mohammad Abdul Hamid.

Menurut beliau, sumbangan tersebut memberi makna yang amat besar dalam usaha memperkukuh pembelajaran digital di negeri tersebut dan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri melalui MAINPP yang selari dengan aspirasi Penang 2030 ke arah menjadikan Pulau Pinang Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, usaha baik yang dilakukan membuktikan bahawa transformasi negeri tidak hanya tertumpu pada infrastruktur fizikal, tetapi juga kepada pembangunan minda dan sahsiah rakyat.

“Kita sedar bahawa dunia kini bergerak pantas ke arah digital. Oleh itu, kefahaman terhadap teknologi serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengannya amat penting, terutamanya dalam sektor pendidikan.

“Kita mahu pelajar-pelajar bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mampu bersaing secara global,” ujar beliau.

Jelas beliau, MAINPP melalui pengurusan zakat tampil memainkan peranan penting dengan menyumbang peranti tablet kepada sekolah-sekolah di seluruh negeri selari dengan dasar pendidikan digital yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Tambah beliau, “Peranti ini akan digunakan sebagai akses kepada buku teks digital oleh murid sekolah rendah di negeri ini.”

“Penajaan itu menyasarkan anak daripada keluarga B40 yang tergolong dalam kategori asnaf fakir, miskin dan fisabilillah,” ujar YB Dato’ Dr. Mohammad.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, YBrs. Encik Mohamad Zawawi Ahmad berkata, Dasar Pendidikan Negara diluncurkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pada tahun 2023 untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai perlu disokong sepenuhnya.

“Agihan Tablet oleh MAINPP sebanyak 8740 unit bernilai lebih 6.5 juta kepada 263 sekolah menengah dan sekolah kebangsaan di Pulau Pinang bakal membawa pelbagai faedah kepada banyak murid nanti,” ujar beliau.

Penajaan itu juga mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2024 yang memutuskan bahawa penggunaan dana zakat daripada Kumpulan Wang Tawaqquf adalah harus untuk tujuan pendidikan.

Majlis diadakan menjadi bukti bahawa MAINPP bukan sahaja menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan digitalisasi pendidikan, malah bersedia melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT), teknologi rantaian blok (blockchain), realiti terimbuh (AR), pengkomputeran awan (cloud computing) dan analitik data besar (big data analytics) dalam ekosistem pendidikan Islam.

Pada masa yang sama, program itu turut membawa semangat Malaysia MADANI yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri apabila dana zakat dimanfaatkan secara bijak untuk membina masa hadapan anak dengan nilai ihsan, hormat dan bertanggungjawab.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi