Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Yang Berbahagia (YBhg.) Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, menzahirkan solidariti dengan menyeru agar seluruh umat Islam berpadu dalam menyatakan solidariti terhadap Palestin dan mengecam tindakan biadab serta kejam rejim Zionis Israel terhadap al-Aqsa dalam kenyataannya di sini, semalam.
Menurut beliau, “Serangan terhadap rumah Allah yang suci ini bukan sahaja suatu bentuk kezaliman yang melampaui batas, tetapi merupakan pelanggaran nyata terhadap hak asasi manusia dan mencabul undang-undang antarabangsa sebagaimana keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)”.
Beliau turut menjelaskan bahawa serangan kejam rejim Zionis Israel bukan sahaja telah membedil kem pelarian dan penempatan rakyat Palestin yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak tidak berenjata, tetapi turut menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang amat dahsyat.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini ialah bukti nyata bahawa rejim Zionis Israel terus-menerus melakukan jenayah perang dan penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin secara sistematik dan perkara ini telah disahkan oleh ICJ dalam perbicaraan kes Afrika Selatan lawan Israel,” kata beliau.
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asmadi menyeru agar Kerajaan Malaysia mengambil langkah yang tegas dan strategik dalam usaha menangani isu kezaliman terhadap Palestin serta menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara Islam yang lain khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari penyelesaian yang mampan bagi menangani konflik tersebut.
“Marilah kita bersatu agar dapat menangkis penjajahan rejim Zionis Israel yang sekian lama menyebabkan rakyat Palestin hidup menderita,” tegas beliau.
Kita sebagai umat Islam tidak boleh membiarkan mereka berjuang sendirian.
“Sepertimana yang kita lihat dalam televisyen dan dada akhbar, anak-anak kecil sangat berani mempertahankan tanah air mereka demi kesucian bumi berkat, iaitu Baitulmuqaddis,” tambah beliau lagi.
Selain itu, beliau turut berpesan, “Walau sebesar zarah tindakan kita, pasti akan memberikan impak yang besar terhadap perjuangan mereka (rakyat Palestin).”
“Marilah kita terus mendoakan keselamatan, kemenangan dan kesejahteraan bagi umat Islam Palestin serta keselamatan bagi seluruh umat Islam di dunia,” ujarnya lagi.
“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk terus memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin,” kata beliau.