Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Bersempena dengan bulan Ramadan yang sarat dengan pelbagai kegiatan kebajikan, suatu inisiatif kemanusiaan antarabangsa telah dimulakan untuk rakyat Syria yang lama terperangkap dalam konflik kemanusiaan yang berpanjangan.
Usaha ini bakal digerakkan oleh Gabungan Bina Semula Syria (GBSS), iaitu suatu inisiatif yang menghimpunkan sebanyak 20 badan masyarakat madani (CSO) tempatan yang dilancarkan pada 26 Mac 2025 yang lalu.
Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YB Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersempena dengan majlis iftar, Grand Iftar for Humanity yang bertempat di Cyberjaya.
Majlis tersebut turut menyantuni lebih 100 pelarian Syria yang kini berlindung di Malaysia.
Matlamat utama GBSS adalah untuk menyelaraskan bantuan dengan lebih sistematik dan menyeluruh, meliputi aspek kecemasan, pemulihan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan masyarakat jangka panjang.
Dalam ucapannya, Dr. Zulkifli berkongsi pengalaman peribadi beliau yang cukup mendalam sewaktu menyertai misi kemanusiaan ke Syria dan Gaza.
“Masih segar dalam ingatan saya debu perang, tangisan anak yatim dan senyuman seorang ibu yang kehilangan segala-galanya.
Namun begitu, mereka tetap mengucapkan “Cukuplah Allah bagi kami” yang bukan hanya lafaz, tetapi manifestasi kekuatan spiritual mereka ketika menghadapi ujian yang sangat berat,” kata beliau dengan sebak.
Beliau turut menekankan bahawa pengalaman secara langsung di medan krisis memberikan perspektif yang jauh lebih mendalam.
Tambah beliau, rakyat Syria telah banyak berkorban untuk meneruskan hidup dan mempertahankan maruah mereka sebagai manusia yang merdeka.
Selepas hampir satu setengah dekad berdepan peperangan, penderitaan dan pelarian, rakyat Syria kini memerlukan satu inisiatif baru yang lebih mampan.
Kemelut yang bermula sejak tahun 2011 telah meninggalkan kesan mendalam dengan lebih 12 juta orang warganya telah kehilangan tempat tinggal, manakala jutaan lagi menjadi pelarian di negara asing.
“Kini, selepas 14 tahun penderitaan, muncul sedikit sinar harapan, kita mendoakan agar Syria dapat kembali membangun dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Usaha membina semula ini memerlukan dukungan bukan sahaja daripada kerajaan, malah masyarakat sivil seluruh dunia,” katanya.
Gabungan ini bakal digerakkan oleh rangkaian pertubuhan bukan kerajaan Islam yang selama ini aktif menjalankan misi kemanusiaan antarabangsa seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia HALUAN), Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Global Peace Mission (GPM).
Majlis pelancaran turut disertakan dengan penyerahan sumbangan makanan asas dan bantuan tunai kepada para pelarian Syria.
Bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor, Pengerusi GBSS; Encik Syahrir Azfar Saleh, Pengarah Grand Iftar for Humanity; dan Farah Lee, seorang pempengaruh terkenal.
Dalam konteks yang lebih luas, pelancaran GBSS memperlihatkan suatu dimensi baharu terhadap cara masyarakat madani berfungsi dalam landskap dunia Islam masa ini.
Ketika dunia sedang menyaksikan pelbagai bentuk ketegangan geopolitik tanpa sebarang penghujung, wujud suatu jaringan pertubuhan sivil yang mampu bergerak secara strategik dan tersusun, iaitu suatu inisiatif yang diharapkan dapat meredakan keresahan ini.
Dr. Zulkifli turut menyeru masyarakat Malaysia agar terus menyemai semangat empati dan cakna terhadap isu antarabangsa.
Menurutnya, medan kemanusiaan bukan semata-mata tentang sumbangan kewangan, tetapi turut merangkumi sokongan moral, kesedaran sosial dan pendidikan awam.
“Ramadan bukan sahaja medan untuk menunaikan ibadah secara individu, malah juga ruang terbaik untuk kita memperkukuh nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat, termasuklah keprihatinan terhadap penderitaan saudara kita di luar negara,” tambah beliau.
Pelancaran GBSS membawa makna besar kerana menjadi simbol bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara Muslim berbilang kaum mampu tampil ke hadapan memimpin gagasan bantuan kemanusiaan berdasarkan nilai sejagat dan etika Islam.
Selain itu, majlis ini juga mencerminkan kesatuan pelbagai latar belakang dalam membina sebuah jaringan masyarakat sivil yang kukuh.
Golongan muda, aktivis, ilmuwan dan dermawan berganding bahu menjayakan usaha ini sebagai satu amal jama‘i yang memberikan manfaat berterusan.