Diterbitkan pada 28 Mac 2025, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal kebaikan untuk) mendapatkan keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

(Surah Ali ‘Imran 3:133)

Orang mukmin yang menghidupkan Ramadan dengan penuh ketaatan dan amal kebaikan, pasti akan berasa hiba dan sayu kerana Ramadan bakal berakhir. Berakhirnya Ramadan bermakna berakhirnya tempoh tawaran pelbagai keistimewaan, ganjaran pahala yang dilipatgandakan, juga peluang yang luas untuk kita mendapatkan keampunan. Kita berasa hiba dan sayu apabila menginsafi bahawa mungkin Ramadan ini yang terakhir buat kita, kerana tidak pasti sama ada kita masih dikurniakan usia untuk dapat bertemu Ramadan pada tahun hadapan ataupun tidak.

Mukmin pada bulan Ramadan dibahagikan kepada dua golongan  untuk dijadikan pengajaran:

Pertama: Mukmin yang ikhlas memelihara dan melaksanakan kewajipan ibadah puasa serta ibadah fardu yang lain, di samping mengerjakan pelbagai amalan kebaikan seperti menyambung silaturahim, bermaaf-maafan, bertarawih, bersedekah, membiayai iftar, bertadarus, beriktikaf, membaca al-Quran, beristighfar dan bertahajud. Golongan ini insya-Allah akan keluar dari bulan Ramadan dan menyambut Syawal dalam  keadaan suci bersih, hati yang jernih, wajah yang ceria serta jiwa yang lapang. Mereka menyempurnakan ibadah puasa dengan tulus ikhlas semata-mata kerana Allah SWT,  dilengkapi dengan taubat dan titisan air mata keinsafan yang mengalir pada sepertiga akhir malam, serta amal kebaikan yang dikerjakan. Ramadan yang dilalui berjaya mendidik hawa nafsu, membakar dosa lalu, mendisiplinkan diri, melatih sifat mahmudah, sehingga berasakan seolah-olah dibuka lembaran hidup baharu untuknya dengan penampilan watak dan sahsiah yang lebih terpuji. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua: Mukmin yang muflis (rugi) kerana semasa berlapar dan berdahaga pada siang hari, namun mereka tetap melakukan pelbagai maksiat seperti meninggalkan solat fardu, tidak memelihara lidah daripada berkata keji, berdusta, mencerca, memfitnah, tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak mengawal pergaulan antara mahram, dan terus melanggar perintah Allah dengan perbuatan pecah amanah, rasuah, menipu, mencuri, berjudi serta bersifat riak, bongkak, sombong dan zalim. Golongan ini tidak berjaya memperoleh nikmat kebaikan Ramadan, malah tidak sedikit pun mendapat rahmat daripada lelahnya menahan lapar dan dahaga. Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Banyak orang yang berpuasa, namun tidak mendapat apa-apa pun daripada  puasanya selain lapar dan dahaga. Dan banyak orang yang bersolat malam namun tidak mendapat apa-apa pun daripada solatnya selain lelah dan berjaga malam.”

(Hadis riwayat Ibn Majah)

Ayat 33 Surah Ali ‘Imran tersebut memerintahkan kita untuk bersegera melakukan amalan kebaikan agar mendapat keampunan Allah SWT.  Oleh itu, sebelum Ramadan melabuhkan tirai, marilah kita bersungguh-sungguh memanfaatkan Ramadan yang masih berbaki dengan meningkatkan amal ibadah. Jika ditakdirkan Ramadan ini merupakan Ramadan terakhir bagi kita, alangkah ruginya jika kita mensia-siakan peluang untuk mendapat ihsan keampunan Ilahi. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Amat rugilah orang yang memasuki bulan Ramadan kemudian Ramadan berlalu, sedangkan dia tidak mendapat pengampunan Allah.

(Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Semoga Ramadan kali ini berupaya menjadikan kita hamba Allah yang bertakwa, diampuni segala dosa, serta dilimpahi rahmat kehidupan dunia dan akhirat.

Dalam suasana menyambut dan meraikan Aidilfitri, kita diingatkan tentang beberapa adab dan saranan yang berikut:

Pertama: Syawal hendaklah disambut dengan memperteguh amalan sunah Aidilfitri. Bermula dengan melakukan sebanyak-banyak takbir pada malam 1 Syawal, diiringi mandi sunat Aidilfitri pada paginya. Kita juga disunatkan memakai pakaian baharu bagi yang mampu, namun jika tidak mampu membeli pakaian baharu, pilihlah pakaian terbaik yang sedia dimiliki untuk memenuhi sunah berhias pada hari raya.

Kedua: Aidilfitri disambut berpandukan syariat dan dalam semangat membudayakan adat resam; dirayakan secara sederhana dan menjauhi pembaziran. Jauhilah sifat keji seperti bermegah-megah atau bersifat riak mahu menunjukkan kelebihan diri, sama ada ketika berpakaian, menghidangkan juadah ataupun menghias rumah.

Ketiga: Menjaga adab dan kesopanan ketika memperagakan pakaian dan perhiasan diri dengan mengamalkan sifat bersyukur lagi merendah diri, mengamalkan sifat insani, bermurah hati menggembirakan warga kurang berkemampuan dengan menghulurkan bantuan berbentuk pakaian, makanan dan wang ringgit menjelang Aidilfitri.

Keempat: Disunatkan menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat Aidilfitri, dan memilih laluan yang berbeza bagi perjalanan pergi ke masjid dan pulang dari masjid supaya dapat bertemu dengan lebih banyak jiran dan rakan taulan untuk bersilaturahim.

Kelima: Dituntut untuk merancang amalan ziarah bagi memuliakan ibu bapa, mentua, saudara tua, adik-beradik dan sanak saudara serta menggembirakan hati mereka dengan pemberian sedekah dan hadiah.

Keenam: Mengawal dan mengawasi, malah mencegah anak-anak daripada bermain bahan api untuk mengelakkan berlaku kemalangan.

Ketujuh: Merancang perjalanan dengan selamat. Membuat pemeriksaan kenderaan agar pemanduan berlangsung dengan lancar; menggunakan jalan raya secara berhemah, bersabar dan bertimbang rasa demi keselamatan diri kita, penumpang dan juga pengguna lain.

 

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 28 Mac 2025, bertajuk “Ramadan Berakhir – Syawal Menjelma”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi