Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKurang daripada 10 hari lagi, kita akan menyambut Syawal yang merupakan hari kemenangan buat seluruh umat Islam. Namun begitu, hari-hari terakhir Ramadan ini tidak wajar dipandang enteng. Sebaliknya, pada ketika ini, seluruh umat Islam haruslah semakin giat memperbanyak ibadah sunat terutamanya pada waktu malam demi mencari malam teristimewa dalam bulan ini, iaitu lailatulqadar.
Kita sedia maklum bahawa Allah mengurniakan bulan ini dengan tawaran yang sangat hebat seperti pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Hal ini bermakna, ruang keampunan kepada semua hamba-Nya terbuka luas, seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Adapun begitu, dalam keghairahan kita melaksanakan amalan sunat pada bulan Ramadan, sejauh manakah penghayatan kita pada hari ini dalam usaha melaksanakan ibadah wajib yang bukan sahaja dilaksanakan dalam bulan ini? Sebagai contoh, solat fardu lima waktu sehari semalam.
Tidak dinafikan, bulan Ramadan yang mulia ini ialah waktu terbaik bagi seseorang Muslim untuk memperbanyak amalan seharian dengan melakukan ibadah sunat. Walau bagaimanapun, ibadah sunat ini tidak mampu menggantikan kelompangan ibadah wajib seperti solat fardu.
Hal ini dikatakan demikian kerana perkara yang membezakan seseorang Muslim dengan seseorang kafir itu adalah melalui solatnya. Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis riwayat Muslim dan Ahmad bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Perkara yang membezakan seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir itu ialah mereka yang meninggalkan solat.”
Solat ialah tiang agama; rukun Islam yang kedua. Sebagai umat Islam, kita perlulah berusaha meningkatkan kualiti solat fardu di samping memperkukuh solat-solat sunat. Janganlah disebabkan mengejar ibadah sunat, ibadah wajib kita abaikan. Misalnya, melaksanakan qiamullail pada sepertiga malam, tetapi meninggalkan solat subuh kerana terlajak tidur. Ini ialah konsep ibadah yang salah. Sepatutnya ibadathsunat yang dilaksanakan menjadi bonus pahala kepada kita dan bukan sebaliknya.
Selain itu, kita juga seharusnya bersegera menunaikan qada solat sekiranya pernah meninggalkan solat fardu sebelum ini. Qada solat bermaksud menggantikan solat yang pernah ditinggalkan sama ada secara sengaja ataupun tidak, malah ada pendapat yang menyatakan lebih afdal untuk melaksanakan solat qada berbanding dengan solat sunat kerana perkara tersebut ialah hutang kita kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Dia tidak akan membebani hamba-Nya melebihi kemampuan mereka. Oleh itu, sekiranya kita berasa sukar untuk melaksanakan qada solat pada awalnya, ingatlah bahawa setiap kesukaran itu pasti akan diganti dengan kemudahan sehinggakan Allah berfirman sebanyak dua kali dalam Surah al-Syarh ayat kelima dan keenam yang bermaksud,
Sesungguhnya pada setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan, dan sekali lagi ditegaskan bahawa dalam setiap kesusahan itu pasti disertai kemudahan.
Oleh itu, laksanakanlah perintah Allah yang wajib ini dengan bersungguh-sungguh agar kita berjaya menjadi hamba yang bertakwa, lebih-lebih lagi sementara masih berada dalam bulan Ramadan. Semoga dengan kesungguhan kita membaiki kualiti ibadah solat fardu ini, Allah membuka peluang yang lebih besar kepada kita untuk bertemu lailatulqadar yang menjadi idaman seluruh umat manusia.
Lebih indah lagi, semoga kita menjadi hamba-Nya yang istiqamah dalam usaha membaiki amalan seharian menjelang tibanya Syawal hingga akhir hayat nanti. Barulah dapat memaknai erti sebenar kemenangan dalam perjuangan Ramadan.