Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Penganjuran World Quran Hour 2025 peringkat nasional pada hari ini yang berlangsung di seluruh negara bermula pada pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 tengah hari disertai oleh warga pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Dewan Seminar EDC, Kompleks Teruntum, Kuantan.
Sebanyak lebih daripada 70 orang warga pekerja PKNP telah bersama-sama membaca dan mentadabur Surah al-Saf dalam program tersebut yang dipimpin oleh Ustaz Shafiq Mohamed al-Hafiz, Imam Masjid as-Shafie KotaSAS, Kuantan.

Setelah itu, Majlis Khatam al-Quran Ramadan 1446H/2025M yang dianjurkan secara bersama oleh PKNP, Kelab Keluarga Kumpulan PKNP (KKKPKNP) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) PKNP turut diadakan.
Menurut Encik Muhammad Faiz Ab Aziz, Ketua Biro Agama dan Kebajikan KKKPKNP, program Tadarus al-Quran di PKNP telah dimulakan sejak 3 Mac 2025 lalu yang melibatkan sebanyak lebih daripada 70 orang peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Jelas beliau, Majlis Khatam al-Quran Ramadan 1446H/2025M merupakan penutupnya setelah semua kumpulan berjaya menghabiskan bacaan al-Quran mengikut pembahagian juzuk yang telah ditetapkan.
“Pihak pengurusan tertinggi PKNP amat menggalakkan warga pekerja PKNP untuk mendalami al-Quran dan telah membenarkan pelaksanaan aktiviti ini sepanjang bulan Ramadan pada waktu rehat,” ujar Encik Muhammad Faiz.
“Program ini juga bertepatan dengan tujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan mendapatkan syafaat Ramadan dengan memperbanyak aktiviti bacaan al-Quran walaupun ketika sedang bekerja,” tambah beliau lagi.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan tertinggi PKNP yang sentiasa menyokong aktiviti berbentuk kerohanian bukan sahaja semasa bulan Ramadan, tetapi sewaktu di luar bulan Ramadan.
Yang turut hadir ialah Tuan Haji Mohamad Hasrizal Hasim, Pengurus Teknik PKNP, barisan pengurus bahagian dan unit PKNP, para pegawai dan warga kerja PKNP.