Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 17 Mac 2025, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperkenalkan pembayaran zakat fitrah melalui kod QR bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan ini.

Kaedah pembayaran secara digital ini diperkenalkan sebagai tambahan kepada pembayaran melalui sebanyak 917 orang amil bertauliah dan secara dalam talian menerusi Gerbang Zakat, Pahang.

Kadar zakat fitrah Pahang bagi tahun 1446H/2025M ditetapkan pada jumlah RM7.00, RM14.00 dan RM21.00 mengikut jenis beras yang digunakan.

Bayaran zakat fitrah boleh dilakukan dari awal Ramadan hingga sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Di Kolej Matrikulasi Pahang, kaunter pembayaran zakat fitrah dibuka bagi memudahkan urusan kakitangan dan pensyarah.

Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi (Cares) Kolej Matrikulasi Pahang, Ustaz Ismail Jusoh berkata, “Kaunter pembayaran zakat fitrah dibuka di kolej bagi memudahkan urusan kakitangan dan pensyarah membayar zakat fitrah.”

Sementara itu, Pensyarah kolej, Encik Ahmad Noh, menekankan kepentingan menunaikan zakat fitrah.

Katanya,

Menunaikan zakat fitrah ialah kewajipan setiap Muslim yang berkemampuan bagi menyempurnakan ibadah Ramadan.

Zakat ini bertujuan untuk menyucikan diri dan berbagi kesenangan bersama-sama golongan yang kurang mampu.

Turut berkongsi pandangan, Pembantu Teknologi Maklumat kolej, Wahidul Hafiz Mohd Hashim, menyambut baik inisiatif pembukaan kaunter zakat.

Beliau berkata, “Pembukaan kaunter zakat ini sangat memudahkan urusan pembayar zakat.”

“Kita boleh memilih cara bayaran sama ada secara tunai ataupun secara dalam talian, jadi tiada alasan untuk tidak menunaikan zakat fitrah,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi