Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) mengagihkan lebih daripada 100 bungkus makanan dan minuman kepada petugas barisan hadapan dalam Program Agihan Sahur 1446H/2025M, semalam.
Program tanggungjawab sosial korporat ini bertujuan untuk menghargai pengorbanan petugas yang bertugas sepanjang malam pada bulan Ramadan.
Presiden Kelab Keluarga Kumpulan PKNP (KKKPKNP), Encik Rahmat Hussin berkata, program ini memberikan peluang kepada PKNP untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang sering terlepas pandang.
“Petugas barisan hadapan mempunyai masa yang terhad untuk mencari juadah berbuka puasa dan bersahur kerana komitmen tugas mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa kesyukuran kerana dapat berbakti kepada msyarakat melalui penganjuran program tersebut.
“Program ini akan dilaksanakan sekali lagi oleh PKNP pada minggu hadapan dengan memberikan tumpuan agihan kepada petugas barisan hadapan di kawasan yang lain pula,” ujarnya.
Program ini berlangsung dari pukul 1.00 pagi hingga 4.30 pagi dengan kerjasama Kelab Keluarga Kumpulan PKNP (KKKPKNP) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia PKNP (PUSPANITA PKNP).
Antara lokasi agihan juadah bersahur termasuklah Balai Polis Beserah, Kem PGA Galing, Kem Sri Kuantan (Batallion 505), Balai Polis Peramu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Balai Trafik Daerah Kuantan, Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan bangunan kerajaan serta sekolah.