Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeberang Perai – Sebanyak RM2.1 juta bakal dibelanjakan bagi menaik taraf Masjid Jamek Tuan Samad, Permatang Sungai Dua, Kepala Batas daerah Seberang Perai Utara yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk dan kini sudah berusia lebih 150 tahun.
Keistimewaan masjid pada waktu itu ialah tiang masjid dibina menggunakan tanah liat, pasir halus dan diseliputi kapur untuk memastikan ketahanan keseluruhannya berbanding dengan kemudahan canggih yang ada sekarang.
Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Wakaf, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pihak pengurusan masjid lama juga perlu aktif untuk memajukan kawasan pentadbiran masing-masing.
“Sejak belakangan ini, berbagai-bagai usaha dilakukan agar semua pihak bergerak di bawah Teras Pembangunan Sosioekonomi, Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) bagi membawa mesej memperkasakannya, termasuklah bidang wakaf di seluruh masjid di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Iftar Jamaie Bersama TKM 1 Siri 5 di Masjid Jamek Tuan Samad Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, beliau menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pihak pengurusan Masjid Jamek Tuan Samad.
Tambah beliau, “Projek bernilai keseluruhan RM2.1 juta itu nanti akan dilaksanakan untuk pengubahsuaian masjid pada tahun ini juga.”
“Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan sebanyak RM810,000; Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM630,000; dan sumbangan Kariah Masjid Jamek Tuan Samad sebanyak RM210,000,” jelas beliau.
Menurutnya, pada tahun lalu dalam bulan Ramadan juga, beliau telah melancarkan Dana Pembangunan Wakaf Masjid Tuan Samad dan orang ramai telah memberikan sumbangan ikhlas sehingga dana tersebut kini terkumpul sebanyak hampir RM50,000.
“Saya ada mengumumkan baki RM400,000 yang belum mencukupi untuk pelaksanaan projek ini akan saya cadangkan untuk diangkat dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang nanti,” tambahnya.
Sementara itu, beliau juga menyentuh berkenaan dengan undang-undang hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang yang dipanggil sebagai Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang yang memberikan kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) selaku pemegang amanah tunggal bagi hal pentadbiran wakaf di negeri ini.
“Harta yang diwakafkan di negeri ini mesti didaftarkan untuk ditadbir oleh MAINPP yang telah mewakilkan hal pentadbiran wakaf di Pulau Pinang bagi diurus oleh anak syarikatnya, iaitu Wakaf MAINPP,” ujarnya.