Diterbitkan pada 11 Mac 2025, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengutip hasil sebanyak RM303,313,254.78 pada tahun 2024 berbanding dengan sasaran perancangan awalnya sebanyak RM283,054,239.00 setelah pelbagai kempen diperkenalkan.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM25.5 juta, iaitu 9.19 peratus melebihi jumlah kutipan zakat pada tahun 2023, iaitu sebanyak RM273,006,751.00.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) merangkap Pengerusi LZNK, YBhg. Datuk Seri Norizan Khazali berkata, pada tahun 2023, LZNK mencapai peningkatan kutipan sebanyak RM25.7 juta dan ini bermakna dalam tempoh dua tahun sahaja, LZNK berjaya mencapai peningkatan sasaran melebihi RM50 juta.

“Kenaikan RM25.5 juta pada tahun 2024 itu disumbang melalui peningkatan tiga jenis zakat utama, iaitu zakat pendapatan dengan peningkatan sebanyak RM18.8 juta, zakat perniagaan dengan peningkatan sebanyak RM2.7 juta dan zakat fitrah dengan peningkatan sebanyak RM1.2 juta,” katanya dalam Majlis Prestasi Kutipan dan Agihan LZNK 2024 dan Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Kedah 2025 di Dewan Datuk Shaikh Mahmood Naim Menara Zakat Negeri Kedah, Alor Setar, baru-baru ini.

Menurut beliau, sebanyak 269 787 orang telah menunai kewajipan zakat dengan jumlah pembayar baharu sebanyak 103 389 orang pada tahun lalu. 

Tambah beliau, sebanyak 85.7 peratus daripada keseluruhan kutipan tahun lepas, iaitu sebanyak RM259.9 juta diperoleh daripada transaksi tanpa tunai dan hanya RM43.4 juta bayaran zakat yang diterima secara tunai.

“LZNK telah mengagihkan keseluruhan dana zakat yang dikutip pada tahun 2024 sebanyak RM348,375,779.50, termasuklah dana lebihan sebanyak RM45 juta baki wang zakat pada tahun 2023,” ujar beliau.

“Semua dana zakat telah diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang berhak melalui pelbagai skim dan sektor seperti kebajikan bulanan, pendidikan, keterjaminan makanan, perumahan, kesihatan, pakaian dan sebagainya,” tambah beliau.

 YBhg. Datuk Seri Norizan juga menjelaskan bahawa kadar zakat fitrah di Kedah bagi tahun 2025 ditetapkan dengan nilai RM7 dan RM14 melalui kutipan oleh 2753 orang amil di kariah masing-masing dan 172 agensi yang dilantik di seluruh negeri.

“Walau bagaimanapun, semua umat Islam digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan setiap hari,” jelas beliau.

LZNK turut menyasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun 2025 mencecah sebanyak RM14.5 juta berbanding dengan kutipan pada tahun 2024 yang berjumlah RM13.31 juta.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Sahibus Samahah Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fazdzil Awang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dan Agihan LZNK, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, YAA Dato’ Syeikh  Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria Othman.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi