Diterbitkan pada 3 Mac 2025, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pengisian aktiviti Bulan Wakaf Kebangsaan pada tahun ini memberikan tumpuan terhadap aspek penerimaan dan pengagihan dana wakaf bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pengurusan dana wakaf yang diurus oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri.

Menurut YWM, bagi tahun 2025, CIMB Islamic Bank Berhad merupakan rakan strategik pembudayaan dan sosialisasi wakaf YWM, manakala Kenanga Investors Berhad pula merupakan rakan strategik pertama YWM untuk mencipta produk pelaburan berasaskan wakaf.

Katanya, dengan kekuatan kedua-dua entiti ini, peranan wakaf dalam usaha menjaga kemaslahatan ummah akan terus diperkukuh dan dipertingkatkan.

“Hingga kini, YWM telah mewujudkan pelbagai produk wakaf, bersandarkan maqasid syariah dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti Wakaf Masjid Hijau, Wakaf Air, Wakaf Halal PKS, myWaqafPTPTN, dan Program i-TEKAD CIMB Islamic Rider Enterpreneur,” jelasnya.

Tambahnya, bagi memudahkan masyarakat berwakaf, YWM telah mewujudkan pelbagai kaedah wakaf seperti Sistem Wakaf Tunai Malaysia, iaitu penggunaan platform digital seperti GoBarakah dan InfaqPay.

Bagi produk pelaburan berasaskan wakaf pula, YWM telah menerima agihan pendapatan sebanyak RM458,000, iaitu RM375,000 daripada BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas, hasil kerjasama antara YWM dengan Permodalan BSN Berhad dan RM83,000 daripada Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan, iaitu kerjasama antara YWM dengan Kenanga Investors Berhad.

YWM berkata, dalam usaha membawa wakaf Malaysia ke peringkat lebih tinggi, Waqf Exchange Traded Funds (ETF) telah diapungkan di Bursa Malaysia, yang merupakan produk inovasi wakaf pertama di dunia, menggabungkan elemen pelaburan dan kebajikan.

“Inisiatif hasil kerjasama YMM dan Eq8 Capital Sdn. Bhd. ini bakal menyalurkan 50 peratus pendapatan pelaburan sebagai wakaf, manakala baki 50 peratus pula diberikan kepada pelabur sebagai dividen,” jelas beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan dana sebanyak RM35 juta bagi menyokong dua program wakaf, iaitu myWakaf PTPTN dan Permodalan Wakaf Nasional Bhd (PWNB).

Beliau berkata bahawa sebanyak RM30 juta disumbangkan kepada myWakaf PTPTN, manakala RM5 juta pula diberikan kepada PWNB bagi menyokong ekosistem wakaf di negara ini.

“MyWakaf PTPTN ialah biasiswa wakaf pendidikan yang diurus bersama oleh YMM dan PTPTN bagi tujuan membantu mahasiswa dalam kalangan asnaf, M40 dan B40,” katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Setiap sumbangan wakaf di bawah Skim Wakaf Tunai Malaysia YWM, merupakan projek berkepentingan nasional yang membolehkan setiap wakaf tunai kepada YWM layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi