Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKitab Dala’il al-Khairat atau judul penuhnya ialah Dala’il al-Khairat wa Shawariq al-Anwar fi Zikr al-Salah ‘ala al-Nabiy al-Mukhtar (Panduan Kebaikan dan Sinaran Cahaya dalam Mengingati Selawat ke atas Nabi yang Terpilih) merupakan sebuah kitab himpunan lafaz dan bacaan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Kitab ini dianggap sebuah karya yang agung, menerangi jiwa dan mengukuhkan rohani manusia yang membacanya.
Kitab ini telah dikarang oleh seorang ulama sufi bermazhab Maliki dari Maghribi, iaitu Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli atau lebih dikenali sebagai Imam al-Jazuli. Beliau merupakan pengikut tarekat al-Syadhiliyyah di bawah bimbingan Sheikh Abdullah Amghar. Pada masa yang sama, beliau merupakan seorang daripada Sab’ah Rijal, iaitu tujuh orang wali sufi yang terkenal di Marrakesh selain al-Qadhi ‘Iyadh bin Musa, Yusuf bin ‘Ali al-Sanhaji, Imam al-Suhayli, Abu al-‘Abbas al-Sabti, ‘Abd al-‘Aziz al-Tabba’ dan ‘Abd Allah al-Ghazwani.
Beliau dilahirkan di Sous pada tahun 1404 dan meninggal dunia di Safi pada tahun 1465. Setelah 77 tahun kewafatan beliau, jenazahnya telah dipindahkan ke Marrakesh untuk dikebumikan di sana.
Selain itu, kandungannya bermula dengan doa al-iftitah (pembukaan) dan doa niat sebelum berakhir dengan doa penutup. Himpunan (hizb) lafaz selawat disusun kepada lapan bahagian utama yang berada di tengah-tengahnya. Pada kebiasaannya, himpunan lafaz selawat ini dibaca mengikut hari dalam satu minggu sama ada pagi ataupun petang.
Uniknya kemunculan kitab ini ialah umat Islam di seluruh pelosok dunia seperti Maghribi, Algeria, Libya, Mesir, Sudan, Syria, Turkiye, India hinggalah ke alam Melayu, iaitu Malaysia dan Indonesia menerima serta mengamalkan kitab ini. Walaupun Imam Jazuli tinggal di hujung barat benua Afrika, penulisannya yang tersebar hingga ke timur dunia amat mengagumkan.
Menurut Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Sheikh Usamah al-Sayyid al-Azhari dalam program Malam Mahabbah Selangor yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sejarah yang signifikan tentang kitab ini ialah pembacaannya berlaku di Masjid Nabawi, Madinah berhampiran dengan makam Rasulullah SAW dalam tempoh yang panjang.
Antara individu yang pernah mengetuai bacaan Dala’il al-Khairat di masjid suci kedua berkenaan termasuklah seorang ulama Mesir bermazhab Syafii, iaitu Sayyid Muhammad Amin Ridhwan al-Madani (1252–1313 Hijrah) yang memiliki sanad bacaan Dala’il al-Khairat bersambung sehingga Imam al-Jazuli. Begitu juga anaknya Sayyid Muhammad ‘Abd al-Muhsin Amin Ridhwan, guru-guru dan anak muridnya.
Peristiwa ini melibatkan banyak generasi ulama, malah umat Islam dalam kalangan jemaah haji dan penziarah daripada pelbagai bangsa turut berhimpun untuk membaca kitab tersebut bersama-sama. Setelah mereka mempelajari bacaan selawat dalam kitab tersebut di Masjid Nabawi, mereka mengajarkannya kepada orang lain tatkala kembali ke negara masing-masing.
Artikel ini dipetik dan diubah suai daripada tausiyah Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Sheikh Usamah al-Sayyid al-Azhari dalam program Malam Mahabbah Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 23 Februari 2025.