Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kelebihan hafalan al-Quran dan akhlak terbaik yang dimiliki oleh pelajar tahfiz perlu dimanfaatkan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya.
Demikian menurut Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustazah Hajah Salwana Ahmad Dahlan ketika merasmikan Simposium Trek Pantas SPM Tahfiz di Dewan Muktamar, Masjid Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, pagi tadi.
Katanya,
Kita perlu menggalakkan dan menyediakan pelan hala tuju buat pelajar lepasan tahfiz supaya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, dan seterusnya menceburi bidang kerjaya profesional.
Jangan sempitkan atau hadkan kemampuan mereka hanya pada hafalan 30 juzuk al-Quran, sedangkan mereka mempunyai potensi besar dalam pelbagai bidang yang lebih diperlukan oleh masyarakat seiring dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak sekian lama melalui pelaksanaan program intervensi kepada pelajar tahfiz swasta dengan memperkenalkan program Trek Pantas SPM telah menatijahkan sesuatu yang baik.

“Tahniah kepada UiTM yang telah menyambut baik laluan yang dibuka oleh pihak KPM ini dengan melaksanakan Program Plus Tahfiz UiTM sebagai alternatif untuk para pelajar tahfiz melanjutkan pelajaran,” katanya.
Beliau berharap bimbingan berterusan tersebut akan membantu pelajar tahfiz untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang menjadi pilihan mereka dengan lebih terancang.
Tambahnya, JAKIM sentiasa berusaha untuk membangunkan dan mengemas kini polisi pemerkasaan pendidikan tahfiz di negara ini dengan kerjasama KPM.
“Usaha juga sedang dilaksanakan untuk meluaskan produk TVET kepada komuniti hufaz dan semua pihak berkepentingan seperti jabatan agama Islam negeri, KPM dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Simposium Trek Pantas SPM Tahfiz merupakan inisiatif anjuran program Plus Tahfiz Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM dengan kerjasama Akademi Lembah Ilmu (AKLI).

Program ini menghimpunkan para pengendali program Trek Pantas SPM dan menjadi platform penting bagi mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak JAKIM, KPM, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UiTM dalam usaha membantu pengurusan dan pentadbiran institusi tahfiz.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan gambaran yang lebih jelas tentang peluang yang tersedia untuk para pelajar lepasan program Trek Pantas SPM untuk melanjutkan pengajian mereka khususnya di UiTM dan mengikuti program Plus Tahfiz.
Sebagai rekod, jumlah pusat tahfiz yang berdaftar yang direkodkan di Malaysia adalah sebanyak 1288 buah dan banyak lagi pusat tahfiz yang belum berdaftar.
Simposium dimulakan dengan ceramah bertajuk “Kemahiran Insaniah Pelajar Pemangkin Kemajuan Negara” yang disampaikan oleh Penyelaras Misi Akademi, Program Plus Tahfiz UiTM Shah Alam, Ustaz Mohd Razlan Ahmad dan disusuli dengan sesi pembentangan kajian berkaitan dengan program Trek Pantas SPM oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBrs. Dr. Tajul Rosli Shuib; Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan UiTM Melaka, YBrs. Dr. Nur Hafidzah Idris; dan pelajar Ijazah Kedoktoran ACIS, UiTM, Puan Naimah Muhammad.

Selain itu, turut diadakan sesi forum yang bertajuk “Kemenjadian Hufaz Profesional Tanggungjawab Bersama” dengan barisan ahli panel yang terdiri daripada Penolong Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan Bahagian Pendidikan Islam, KPM, YBrs. Tuan Mohammad Sharifuddin Jahuri; Pengerusi Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah dan Penasihat Program Plus Tahfiz UiTM, Ustaz Yadman Sarwan; dan Doktor Pembedahan Hospital Kemaman yang merupakan Alumni Trek Pantas SPM, Doktor Muhammad Kamil Ayyub; serta Alumni Trek Pantas SPM, Encik Muqri Mohd Nizam sebagai moderator.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah JAKIM, Puan Norihan Zakaria; Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Puan Norhazifah Jamil; Ketua Sektor Pentadbiran Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Ustaz Solekhan Roup, Pegawai Perhubungan Pendidikan Negeri Selangor, Yayasan Pelajaran MARA, Encik Mohamadd Firdaus Mohd Yusop; serta pelajar Tahfiz Ilmi dan Akademi Lembah Ilmu.