Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YBhg. Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain mengumumkan bahawa Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang, telah memperkenankan kadar zakat fitrah negeri Pahang bagi tahun 1446H/2025M ialah RM7, RM14 dan RM21.
Jelas beliau semasa berucap dalam sidang media semalam, perkara tersebut selaras dengan keputusan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
“Kadar minimum yang perlu dibayar oleh setiap rakyat Pahang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah sebanyak RM7 seorang bagi yang menggunakan beras putih tempatan, beras hancur, beras putih import atau lain-lain yang setara dengannya.”
“Kadar RM14 seorang adalah bagi yang menggunakan beras rebus, beras super wangi, beras pulut, beras carlose atau lain-lain yang setara dengannya,” ujarnya.
Sementara itu, kadar RM21 seorang pula adalah bagi yang menggunakan beras perang, beras basmathi, beras pannies atau lain-lain yang setara dengannya.
Tambah beliau lagi, “Semua umat Islam di Pahang bolehlah mula membayar zakat fitrah bermula pada 1 Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.”
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 917 orang amil zakat fitrah telah ditauliahkan untuk melaksanakan dan melancarkan urusan kutipan zakat fitrah di Pahang.
Pihak MUIP juga telah menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian, iaitu melalui ezakat.muip.gov.my dan kod QR Bank Muamalat.
“Pada tahun ini juga, MUIP melaui Wakaf Pahang akan membekalkan kupon wakaf kepada amil zakat fitrah sebagai usaha memperkasakan dana wakaf demi manfaat ummah,” kongsi beliau.
Dalam ucapannya juga, beliau menasihatkan agar umat Islam di Pahang membayar zakat fitrah hanya kepada amil yang telah ditauliahkan.
“Sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM3000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.