Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan waktu bekerja bagi penjawat awam Pahang Darul Makmur pada setiap hari Jumaat dalam bulan Ramadan 1446/2025 berakhir pada pukul 12.20 tengah hari.
Baginda bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-68 Tahun 1446H/2025M di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
“Pihak kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada 5 Februari 2025 yang lalu telah bersetuju dan meluluskan cadangan ini,” titah baginda.
Baginda turut bertitah bahawa keputusan dan kemudahan yang diberikan tersebut adalah untuk memberikan peluang kepada penjawat awam di Pahang untuk memanfaatkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga dalam bulan Ramadan serta memuliakan hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari.
Yang turut hadir ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan tetamu jemputan.