Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima zakat perniagaan berjumlah RM5.26 juta bersempena dengan Majlis Hi-Tea dan Penyerahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat yang berlangsung di Dewan Dato’ Sheikh Mahmood Naim, Menara Zakat, Alor Setar, Kedah.
Sebanyak 23 buah syarikat korporat tampil menyerahkan zakat perniagaan masing-masing di majlis tersebut baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman berkata, usaha membangunkan ummah dapat dilakukan dengan mudah apabila semua pihak dalam kalangan umat Islam mengetahui tentang kewajipan berzakat.
“Kita harus bersama-sama menggembleng tenaga untuk membangunkan ummah sama ada dari sudut kesihatan, pendidikan dan pembangunan,” ujar beliau.
Beliau juga menyeru semua pihak agar mengamalkan bersedekah RM1.00 sehari demi memastikan usaha yang baik dapat berjalan dengan lancar.
Serahan zakat daripada syarikat tersebut diterima oleh Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil Haji Awang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kutipan dan Agihan LZNK.
Bersempena dengan majlis tersebut turut diadakan sesi penyerahan skim agihan LZNK kepada asnaf yang terpilih termasuklah Skim Tajaan Pendidikan Mursyid (Pasca Siswazah), Skim Tajaan Pendidikan Sekolah Agama, Skim Tajaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Skim Agihan Pendakwah Orang Asli, Skim Agihan Pendidikan Orang Asli, Skim Agihan Jaya Diri, Skim Agihan Kewangan Bulanan Mursyid Pondok (Tok Guru Pondok).
Turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan ahli LZNK, Dato’ Syeikh Ahmad Faisol Omar.