Diterbitkan pada 19 Julai 2026, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh keputusan jemaah menteri meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketegasan Kementerian Pengangkutan dalam isu ini amat tepat terhadap pesalah jalan raya terutamanya kepada pemandu mabuk dan khayal dadah yang tidak boleh dibiarkan terlepas daripada hukuman penjara dan denda, sebaliknya harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya secara bayaran pampasan (kewangan) demi membela nasib waris mangsa.

Langkah perundangan ini selari dengan usaha JPM (Hal Ehwal Agama) yang sedang meneliti pelaksanaan mekanisme diyat, iaitu pampasan berasaskan syariah, bersama-sama dengan barisan mufti dan pakar perundangan sejak 11 Februari lalu.

“Pihak kami sedia menyumbang kepakaran bagi memastikan penggubalan mekanisme pampasan melalui mahkamah ini bersifat adil, menutup ruang kelompangan dan mampu memberikan perlindungan hak kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung,” tegas YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Menyentuh mengenai kesan penguatkuasaan undang-undang, beliau menyifatkan kemalangan yang meragut nyawa akibat kecuaian melampau, termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, sebagai jenayah yang tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata, pindaan mandatori berkenaan menjadi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah yang menyebabkan kematian di jalan raya, sekali gus memastikan hak mangsa dan waris terbela tanpa perlu melalui proses sivil yang berlarutan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi