Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkukuh usaha memperkaya bahan bacaan berkualiti untuk kanak-kanak menerusi pelancaran buku Siri Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi dan prapelancaran Siri Bawal Generasi Bestari di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, pegawai kanan DBP, penulis, guru serta murid sekolah.

Siri Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi yang dilancarkan kali ini mengandungi 10 judul baharu yang diadaptasi daripada hadis ke-11 hingga hadis ke-20 dalam himpunan Hadis 40 Imam Al-Nawawi. Antara judul yang diterbitkan termasuklah Makanan Misteri, Mengapakah Ulwan Menangis?, Kasut Baharu Arif, Zara Mesti Tahu, Sahabatku Huzaifah, Ehsan di Kedai Serbaneka, Kerana Ihsan, Coklat Persahabatan, Doa untuk Atuk serta Umar dan Selipar Surau.

Menurut YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, siri tersebut dibangunkan khusus untuk kanak-kanak dengan pendekatan penceritaan dan ilustrasi yang menarik bagi memudahkan penghayatan mesej hadis.

Beliau berkata, penerbitan siri itu merupakan kesinambungan projek yang dimulakan pada tahun lalu apabila 10 hadis pertama diterbitkan dalam bentuk buku cerita berilustrasi.

“Siri ini berbeza daripada buku hadis yang lain kerana kandungannya dipermudah dan disesuaikan untuk bacaan kanak-kanak. Melalui pendekatan naratif dan ilustrasi, nilai murni, adab dan jati diri Islam dapat diterapkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan bersempena dengan pelancaran Siri Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi dan prapelancaran Siri Bawal Generasi Bestari.

Beliau turut memaklumkan bahawa penghasilan siri tersebut bermula melalui bengkel yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia sejak Februari 2024 dan melibatkan penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Selain itu, DBP turut memperkenalkan semula siri bacaan awal kanak-kanak yang dikenali sebagai Siri Bawal melalui penjenamaan baharu, iaitu Siri Bawal Generasi Bestari.

Menurut beliau, siri tersebut yang mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa kini tampil dengan wajah serta pendekatan yang lebih segar tanpa mengabaikan aspek bahasa, ilustrasi dan nilai pendidikan.

Tiga judul baharu yang diperkenalkan dalam prapelancaran itu ialah Apa yang Boleh Saya Lihat?, Main Batu Seremban dan Mari Kita Makan Kuih.

Dalam ucapan perasmian, YB Senator Dr. Zulkifli Hassan berkata, penerbitan siri hadis tersebut sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperluas penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi dalam kalangan generasi muda.

Beliau menyifatkan langkah DBP menterjemahkan kandungan hadis kepada bentuk yang mudah difahami oleh kanak-kanak sebagai usaha yang signifikan dalam membentuk masyarakat berilmu, beradab dan berakhlak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan semasa menyempurnakan perasmian Siri Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi dan prapelancaran Siri Bawal Generasi Bestari di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

“Yang paling penting ialah mesej dalam hadis ini dapat difahami dan dihayati oleh anak-anak. Saya berharap agar keseluruhan 40 hadis dapat diterbitkan dalam masa terdekat supaya manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pembaca muda,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa bahan bacaan yang berkualiti memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.

Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran buku yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar DBP), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Haji Mohamad; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar (yang menanggung tugas Pengarah Jabatan Penerbitan); Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Hajah Noriyani Yusof; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Encik Mohd Azam Johari; dan para penulis yang terlibat dalam penerbitan kedua-dua siri tersebut.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi