Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan bersama-sama dengan Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” bagi memastikan hanya jemaah yang memiliki visa sah dibenarkan menunaikan ibadah haji, sekali gus melindungi kebajikan golongan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kejayaan usaha ini bergantung pada tindakan bersama, kerjasama dan kesedaran masyarakat untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak melakukan ibadah haji ke Arab Saudi secara sendiri.
“Sekiranya terdapat sebarang permasalahan timbul seperti jemaah jatuh sakit, maka kebajikan mereka sukar untuk dilindungi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kompleks Islam Putrajaya pada Isnin.
Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan visa selain visa haji seperti visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah bagi tujuan menunaikan haji merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Kerajaan Arab Saudi.
“Kebenaran memasuki kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina hanya diberikan kepada jemaah yang memiliki visa haji sah yang.
“Sebarang pelanggaran peraturan ini boleh mengakibatkan tindakan undang-undang termasuk denda, penjara dan sekatan daripada memasuki tanah suci pada masa hadapan,” jelasnya.
Menurut beliau, terdapat beberapa ketetapan utama oleh pihak berkuasa Arab Saudi, iaitu kemasukan ke Mekah bagi tujuan haji tertakluk kepada pemilikan visa haji yang sah atau dokumen rasmi lain seperti Iqamah atau permit kerja di kawasan tanah suci.
Ujar beliau, visa lawatan termasuk visa umrah, pelancongan dan perniagaan dilarang sama sekali daripada mengerjakan haji.
Tambah beliau lagi, individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga SR100,000, manakala warga asing berdepan risiko pengusiran, selain mana-mana pihak yang didapati bersubahat membantu atau mengangkut jemaah tanpa visa sah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan serta denda sehingga SR50,000.
Beliau berharap kempen ini terus memperkukuh kesedaran masyarakat supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi melindungi diri daripada risiko penipuan dan tindakan undang-undang.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBrs. Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-129 memutuskan bahawa tindakan menunaikan haji tanpa visa sah berdosa walaupun ibadah yang memenuhi rukun dan syarat.
Sehubungan dengan itu, TH menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pakej haji yang meragukan, serta memastikan segala urusan dibuat melalui saluran rasmi yang diiktiraf.
“Polis Diraja Malaysia turut membentuk satu Pasukan Petugas Khas yang melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji serta TH bagi menangani isu penipuan pakej haji dan jemaah terkandas,” tegasnya.
Bagi musim haji 1447H/2026M, sebanyak 31 600 orang jemaah Malaysia dijangka menunaikan rukun Islam kelima itu melalui 100 penerbangan sewa khas bermula dari 18 April 2026 hingga 20 Mei 2026, manakala penerbangan pulang pula adalah dari 4 Jun 2026 hingga 30 Jun 2026.