Diterbitkan pada 23 April 2026, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari 2026 yang lalu, geopolitik Asia Barat masih belum menunjukkan tanda reda. Hari demi hari, konflik ini semakin berkembang dengan pantas. Matlamat asalnya dikatakan untuk mengekang pembinaan senjata nuklear Iran telah bertukar kepada ketegangan berpanjangan yang melibatkan laluan strategik Selat Hormuz.

Walaupun korban dalam kalangan rakyat awam yang tidak berdosa terus meningkat khususnya di Iran, umat Islam di Malaysia masih lagi berhadapan dengan dilema tentang pendirian yang wajar diambil. Kekeliruan ini bukan sahaja mencerminkan kerumitan konflik tersebut, tetapi juga berisiko kehilangan kerangka pemikiran untuk menilai sesuatu isu yang melibatkan dimensi politik, akidah dan kemanusiaan secara serentak.

Hal yang lebih membimbangkan apabila perbahasan awam sering terperangkap dalam dikotomi yang sempit, seolah-olah umat Islam perlu memilih antara dua kutub, sama ada menyokong paksi AS–Israel ataupun berpihak kepada Iran.

Kekeliruan ini sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan membezakan antara penilaian berasaskan prinsip dengan penilaian berasaskan kepentingan strategik. Dalam banyak wacana, Iran dilihat melalui lensa perbezaan mazhab, lantas dianggap menjadi ancaman utama kepada dunia Sunni. Malangnya, realiti penjajahan berterusan oleh Israel terhadap Palestin dipinggirkan dan dianggap sebagai isu sekunder. Akibatnya, pendirian umat menjadi tidak konsisten, bahkan bercanggah dengan asas keimanan yang sepatutnya menjadi panduan utama.

Pendirian kita tidak boleh semata-mata berlegar dalam kepentingan geopolitik jangka pendek, sebaliknya mesti berpaksikan prinsip yang jelas, iaitu kesatuan akidah, penentangan terhadap kezaliman dan kejelasan dalam mengenal pasti akar konflik. Tanpa kerangka ini, umat Islam berisiko terperangkap dalam naratif yang dibentuk oleh kuasa besar, bukannya nilai dan kepentingan sebenar mereka sendiri.

Prinsip Sebelum Strategi

Bagi memahami isu ini secara lebih adil dan seimbang, satu pembezaan asas perlu ditegaskan, iaitu antara prinsip dengan strategi (realpolitics).

  • Prinsip: Nilai yang tetap (normatif) dan tidak berubah seperti keadilan, penolakan terhadap penjajahan dan kesatuan umat Islam.
  • Strategi: Pertimbangan yang berdasarkan keadaan seperti hubungan diplomatik, kepentingan ekonomi dan imbangan kuasa antarabangsa.

Masalah utama dalam wacana semasa adalah apabila strategi mengatasi prinsip. Tatkala umat Islam menilai konflik ini berdasarkan sekutu ekonomi yang lebih penting, atau pihak yang lebih hampir dengan kepentingan nasional, mereka secara tidak sedar telah mengorbankan kejelasan moral. Dalam konteks ini, sokongan terhadap mana-mana pihak menjadi relatif dan berubah-ubah, bukan berasaskan kebenaran yang konsisten.

Hal yang sepatutnya berlaku ialah kita menjadikan prinsip sebagai asas, manakala strategi sebagai alat. Dalam erti kata lain, penilaian terhadap mana-mana konflik mesti bermula dengan soalan asas seperti yang berikut:

Siapakah yang lebih dekat dari segi akidah dengan kita (umat Islam)?

Siapakah yang memulakan kezaliman (peperangan)?

Siapakah sebenarnya yang diiktiraf secara rasmi oleh undang-undang Malaysia?

Daripada soalan ini, realiti penjajahan Israel terhadap Palestin tidak akan dilihat sebagai isu serantau, tetapi punca tercetusnya banyak ketegangan di Timur Tengah. Oleh sebab itu, analisis yang mengabaikan hakikat sedemikian berkemungkinan menyesatkan umat Islam.

Dengan mengutamakan prinsip, umat Islam dapat membina pendirian yang lebih konsisten, tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda, serta selari dengan tuntutan akidah dan keadilan sejagat.

Bagaimanakah Mengutamakan Prinsip?

Cara meletakkan prinsip di hadapan dalam konteks perang AS–Israel melawan Iran  adalah menerusi tiga hujah yang berikut supaya umat Islam melihat permasalahan ini secara objektif.

  • Kesatuan Akidah

Umat Islam perlu keluar daripada perangkap sektarian yang menyempitkan. Walaupun wujud perbezaan mazhab yang nyata antara Sunni dengan Syiah, perbezaan ini tidak boleh menjadi asas untuk menghalalkan sikap memusuhi sesama umat Islam, apatah lagi sehingga mengabaikan kezaliman yang dilakukan oleh pihak Israel terhadap rakyat Palestin.

Keinginan rejim Zionis untuk meluaskan sempadan negaranya amat berbahaya kerana turut mengancam kedaulatan wilayah umat Islam yang lain seperti Syria, Lubnan, Iraq dan Arab Saudi. Oleh itu, kesatuan akidah tauhid dan kesucian Masjidilaqsa tidak wajar dilupakan.

Dalam kerangka fiqh siasah, umat Islam perlu mengutamakan saudara seagama yang ditindas walaupun hubungan dengan bukan Islam itu mempunyai keuntungan strategik, apatah lagi apabila hubungan tersebut mengancam kesucian simbol agama (Masjidilaqsa) dan mengakibatkan kezaliman yang nyata (penjajahan bumi Palestin).

Dalam al-Quran, Surah al-Rum ayat 1 hingga ayat 5 memperlihatkan pendirian sewajarnya yang perlu diambil oleh umat Islam ketika menangani masalah ini. Ayat tersebut menceritakan bahawa bangsa Rom akan kembali menang dalam tempoh kurang dari 10 tahun setelah kekalahannya dengan bangsa Parsi, maka orang beriman akan bergembira dengan kemenangan mereka pada ketika itu. Kegembiraan ini bukan disebabkan oleh Empayar Rom sebagai kuasa besar yang sempurna atau sekutu politik umat Islam, tetapi kerana mereka ahli kitab (Nasrani), berbeza daripada Empayar Parsi yang menganut agama menyembah api (Majusi). Pendek kata, walaupun bangsa Rom bukan seagama dengan umat Islam, mereka dilihat lebih dekat dari aspek teologi.

Penilaian umat Islam terhadap sesuatu konflik tidak semestinya didasarkan pada pihak yang paling kuat atau paling menguntungkan secara strategik, tetapi mereka yang lebih dekat dengan prinsip keimanan dan kebenaran. Oleh itu, usaha taqrib (perpaduan) masih wajar diperjuangkan. Perbezaan mazhab tidak seharusnya mengatasi prinsip kesatuan akidah apabila berhadapan dengan ancaman luar yang lebih jelas.

  • Kejelasan Mengenal Pasti Akar Konflik

Umat Islam tidak boleh mengalihkan fokus daripada isu utama, iaitu penjajahan berterusan oleh Israel terhadap Palestin. Penjajahan ini merupakan piawai kelemahan struktural umat Islam secara keseluruhan, termasuk negara Islam yang selama ini mendakwa berpegang pada manhaj Ahli Sunah Waljamaah. Rasulullah SAW meletakkan jihad sebagai puncak manifestasi komitmen terhadap agama menerusi sabdanya, “Puncak kemuliaan Islam ialah jihad pada jalan Allah … .” (Hadis riwayat al-Tabarani, no. 7885). Hadis ini menegaskan bahawa kemuliaan Islam berkaitan rapat dengan keupayaan mempertahankan agama, maruah dan nyawa umat daripada penindasan fizikal.

Sehubungan dengan itu, Allah SWT menyatakan bahawa pentingnya kesiapsiagaan umat Islam membina kekuatan menyeluruh yang mencakupi aspek ketenteraan, teknologi, ekonomi strategik dan kesatuan politik yang diyakini mampu menghalang kezaliman dan mempertahankan kedaulatan negara Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan persiapkanlah (dirimu) semampumu dengan persenjataan dan latihan ketenteraan bagi menggerunkan dengannya musuh Allah dan musuhmu … .” (Surah al-Anfal 8:60).

Ironinya, realiti semasa negara Muslim Sunni pada hari ini menunjukkan jurang yang besar antara tuntutan wahyu dengan keadaan umat. Negara Muslim Sunni mungkin maju dalam sektor ekonomi atau pembangunan fizikal, tetapi adakah pencapaian tersebut diterjemahkan kepada kekuatan sebenar yang mampu melindungi umat Islam daripada penindasan? Hal inilah yang dikatakan sebagai penyakit dalaman umat akhir zaman, iaitu al-wahn sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “… Lalu seorang sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah itu al-wahn?’ Baginda menjawab, ‘Cintakan dunia dan bencikan kematian.’” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 22 397).

Kelemahan umat Islam ketika ini adalah apabila komitmen terhadap manfaat duniawi lebih diberikan perhatian berbanding dengan komitmen terhadap manfaat ukhrawi dengan berselindung di sebalik topeng kemakmuran (prosperity).

Konflik yang berlaku pada hari ini tidak boleh difahami secara terpisah daripada sejarah panjang penindasan dan ketidakadilan di bumi Palestin. Dalam banyak keadaan, ketegangan serantau, termasuk konflik yang melibatkan Iran sering kali berpunca daripada segala bentuk usaha untuk mengekalkan dominasi geopolitik Israel di rantau tersebut. Tambahan pula, tuduhan terhadap Iran berhubung dengan pemilikan senjata nuklear hingga hari ini telah mencetuskan persoalan konsistensi dan keadilan dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa. Sikap selektif dan dwistandard Barat, khususnya  AS kerap merencatkan usaha untuk mencapai keamanan yang sebenar.

Alangkah baiknya jika umat Islam menyedari bahawa kewujudan Israel di kawasan Asia Barat akan kekal menjadi faktor utama yang menggugat kestabilan serantau dan antarabangsa. Pelanggaran demi pelanggaran undang-undang antarabangsa tidak seharusnya dinormalisasikan. Dalam konteks ini, kegagalan masyarakat antarabangsa, termasuk dunia Islam untuk menangani akar permasalahan secara tegas hanya akan mengundang konflik tersebut terus berulang dalam bentuk yang lebih kompleks dan berpanjangan.

  • Dasar Luar yang Konsisten

Malaysia sejak awal tidak pernah mengiktiraf kewujudan Israel dan secara berterusan menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin. Pendirian ini dizahirkan menerusi dasar yang konkrit seperti sekatan kemasukan pemegang pasport Israel serta perakuan rasmi pada pasport Malaysia bahawa kegunaannya tidak sah untuk ke Israel. Hal ini menunjukkan bahawa pendirian Malaysia terhadap isu kezaliman Israel bersifat struktural, bukan retorik atau simbolik semata-mata.

Sehubungan dengan itu, apabila AS secara terbuka menyokong Israel dalam konflik bersenjata, maka secara prinsipnya pendirian tersebut wajar ditentang meskipun Malaysia mempunyai hubungan dagang dan kerjasama ekonomi yang signifikan dengan AS. Hal ini penting bagi membezakan antara kepentingan ekonomi yang bersifat sementara dan boleh dirunding dengan prinsip keadilan yang merupakan perkara asas dan tidak boleh dikompromikan.

Pada masa yang sama, hubungan Malaysia dengan Iran menunjukkan satu dimensi yang tersendiri dalam geopolitik negara kita. Hubungan ini bukan sahaja telah terjalin sejak awal kemerdekaan, malah diperkukuh melalui kerjasama dalam pelbagai platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), serta kerjasama ekonomi, khususnya dalam sektor tenaga. Walaupun terdapat perbezaan dalam perkara tertentu, hubungan ini tetap mencerminkan satu asas kerjasama yang lebih stabil berbanding dengan kuasa besar Barat lain yang sering berubah mengikut kepentingan strategik mereka.

Dalam konteks hari ini, hubungan dengan Iran perlu dipertimbangkan dengan lebih bijak, terutamanya apabila kredibiliti moral AS dan sekutunya semakin dipersoalkan pada peringkat global, sama ada disebabkan oleh kontroversi dalaman seperti kes Jeffrey Epstein yang memalukan, dasar luar yang melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti pencerobohan Venezuela, mahupun tindakan yang dilihat menyokong ketidakadilan pada peringkat antarabangsa.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermaksud Malaysia perlu berpihak secara mutlak kepada Iran, jauh sekali untuk mengambil mudah terhadap isu penyebaran ajaran Syiah di negara kita. Penilaian hubungan strategik Malaysia hari ini tidak boleh hanya bergantung pada kerangka lama yang meletakkan kuasa Barat sebagai pusat utama, tetapi perlu dipertimbangkan semula berdasarkan realiti semasa yang semakin kompleks dan multipolar.

Lawatan Presiden Donald Trump ke Malaysia pada 26 Oktober 2025 yang lalu wajar difahami dalam konteks kepentingan ekonomi dan perdagangan. Namun begitu, apabila melibatkan isu Palestin–Israel, pendirian Malaysia kekal jelas dan konsisten, iaitu menolak segala bentuk kompromi dalam prinsip keadilan dan hak asasi. Kebijaksanaan serta kematangan rakyat dan kepimpinan Malaysia amat diperlukan untuk mengekalkan keseimbangan antara keperluan pragmatik dalam ekonomi dengan komitmen tegas terhadap prinsip keadilan antarabangsa walaupun keupayaan politik dan ekonomi negara yang masih mempunyai keterbatasan.

Sebagai penutup, umat Islam tidak wajar terus berada dalam keadaan dilema dan keliru tatkala menanggapi konflik antara AS–Israel dengan Iran. Keadaan berbelah bahagi ini membuka ruang kepada manipulasi naratif oleh pihak luar sehingga kita boleh kehilangan arah tujuan. Dalam situasi yang semakin mendesak, kegagalan menentukan pendirian dengan tegas bukan lagi suatu kelemahan, tetapi kecuaian moral yang tidak boleh dipertahankan.

Begitu juga tindakan mengakui terdapat isu dalam hubungan Iran dengan sebahagian komuniti Sunni di dunia Islam tidak bermaksud kita mengetepikan prinsip keadilan apabila berhadapan dengan konflik yang berbeza. Lantaran itu, perubahan cara berfikir amat diperlukan ketika ini. Pendirian umat Islam tidak boleh terus berlegar dalam kerangka kepentingan geopolitik jangka pendek semata-mata, tetapi mesti kembali berpaksikan tiga prinsip yang utama, iaitu kesatuan akidah, kejelasan mengenal pasti akar konflik serta kesetiaan terhadap pendirian dasar luar negara.

Tanpa pendirian yang tegas, umat Islam akan terus berada dalam keadaan reaktif dan gagal memainkan peranan yang bermakna, malah hal tersebut seharusnya diterjemahkan dalam bentuk tindakan, termasuk sokongan moral dan bantuan kewangan di kawasan terkesan akibat daripada konflik, khususnya di Palestin dan Iran. Hanya gabungan kejelasan prinsip dengan keberanian bertindak, umat Islam mampu kembali kepada peranan mereka sebagai pembela keadilan pada peringkat global.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi