Diterbitkan pada 20 April 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Selangor Darul Ehsan sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam pemerkasaan syiar Islam apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1447H/2026M. 

Majlis yang berlangsung penuh gilang-gemilang selama enam hari di Stadium Tertutup Gong Badak ini melabuhkan tirainya dengan menyaksikan persaingan sengit daripada qari dan qariah serta hafiz dan hafizah dari seluruh pelosok tanah air.

Majlis perasmian penutupan dan pengurniaan hadiah MTHQK 1447H/2026M telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menekankan bahawa tema pada tahun ini, iaitu “Kalam Ilahi, Tradisi Diwarisi” membawa mesej yang signifikan bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak dan sejahtera. 

Beliau menyatakan bahawa al-Quran bukan sekadar naskhah untuk dibaca bagi meraih pahala, bahkan merupakan kompas utama yang mengimbangi kemajuan fizikal dan kekuatan spiritual manusia.

YB Senator Dr. Zulkifli turut memetik pandangan pemikir agung Islam, Malek Bennabi, yang memberikan amaran bahawa dunia Islam akan terhenti seperti enjin yang kehabisan bahan bakar apabila dorongan al-Quran semakin terhakis dalam jiwa ummah.

“Tindakan menghidupkan kembali dorongan wahyu ini ialah prasyarat utama bagi kebangkitan intelektual, moral dan material,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh bahawa interaksi manusia dengan al-Quran seharusnya melangkaui rutin atau ibadah yang bersifat mekanikal.

Al-Quran menjadi manual kebangkitan rohani yang menggerakkan jiwa manusia untuk memahami hubungan dengannya Pencipta dan alam semesta.

Beliau turut menyeru agar rakyat Malaysia mencontohi generasi terdahulu yang menjadikan al-Quran sebagai sumber petunjuk dalam segala urusan, bukan sekadar teks yang dibaca pada waktu tertentu.

Kemuncak majlis ialah pengumuman keputusan yang menyaksikan kehebatan para peserta dalam penguasaan bacaan dan hafazan. Yang berikut ialah senarai pemenang utama bagi setiap kategori:

Kategori Tilawah al-Quran (Qari): Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dari Perak telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dengan pungutan markah sebanyak 92.34. 

Kategori Tilawah al-Quran (Qariah): Nur Syakura Mohamad Musa dari Sarawak telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dengan pungutan markah sebanyak 92.50.

Kategori Hafazan al-Quran

Johan kategori hafazan menyaksikan pembahagian mengikut tahap hafazan juzuk seperti yang berikut:

  • Juzuk 1-30 (Lelaki): Muhammad Izzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan dengan markah sebanyak 97.95.
  • Juzuk 1-30 (Perempuan): Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka dengan markah sebanyak 96.00.
  • Juzuk 1-20 (Lelaki): Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang yang memperoleh markah sebanyak 98.40.
  • Juzuk 1-20 (Perempuan): Nur Izzati Norazmi dari Selangor dengan markah sebanyak 98.45.
  • Juzuk 1-10 (Lelaki): Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Selangor dengan markah sebanyak 98.35.
  • Juzuk 1-10 (Perempuan): Siti Sofiyyah Mohd Zainuri dari Kelantan dengan markah sebanyak 94.65.
Kredit Foto: Media YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi