Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa pembangunan fizikal seperti pembinaan masjid hendaklah seiring dengan pembangunan rohani masyarakat. Justeru, semua pihak termasuk pengurusan masjid, agensi kerajaan serta masyarakat setempat diseru agar berganding bahu dalam memastikan masjid terus hidup dan berfungsi sebagai institusi yang amat penting dalam kehidupan umat Islam.
Baginda menegaskan bahawa masjid bukan sekadar tempat menunaikan ibadah solat, malah berperanan sebagai pusat pembangunan ummah, medan penyatuan masyarakat serta pusat penyebaran ilmu dan dakwah.
DYMM Tuanku Raja turut bertitah bahawa masjid hendaklah berfungsi sebagai pusat pembentukan akhlak dan sahsiah, seterusnya melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan beramal soleh.
Sehubungan dengan itu, pengimarahan masjid tidak seharusnya terhad kepada solat berjemaah semata-mata, bahkan perlu diperluaskan melalui pelaksanaan program pengajian ilmu, pembangunan belia, kebajikan masyarakat serta pengukuhan institusi kekeluargaan.
Demikian titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al-Kauthar, Kampung Paya, Beseri, semalam.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis perasmian ini ialah program terakhir sepanjang satu tahun Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dilaksanakan serta permulaan kepada Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83 pada 17 Mei yang akan datang ini.
Masjid Al-Kauthar merupakan mercu tanda baharu bagi penduduk sekitar kawasan Beseri, menggantikan struktur lama bagi menampung keperluan komuniti yang semakin berkembang.
Dalam majlis tersebut, Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian masjid serta mengurniakan surat penghargaan kepada para pewakaf sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam menjayakan pembinaan masjid ini.
DYMM Tuanku Raja Perlis juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang, termasuk para pewakaf, penyumbang, serta individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan masjid ini.
Sumbangan tersebut disifatkan sebagai amal jariah yang akan terus mengalir pahalanya selagi mana masjid ini dimanfaatkan oleh umat Islam.
Baginda turut berharap agar Masjid Al-Kauthar ini akan terus menjadi mercu penyatuan ummah, pusat penyebaran ilmu serta simbol kekuatan dan keutuhan Islam di negeri Perlis.
Sebagai rekod, usaha pembinaan semula Masjid Al-Kauthar di Kampung Paya ini bermula pada penghujung tahun 2021, dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM3.5 juta serta sokongan wakaf dan sedekah jariah masyarakat yang mencecah RM4.4 juta.
Jasa Allahyarham Datuk Ar. Hj. Abu Hassan Salleh dikenang atas keikhlasan mewakafkan kepakaran beliau, di samping peranan besar Datuk Roszali Othman selaku Pengerusi Pembinaan yang gigih menggerakkan kutipan dana sehingga pembinaan dapat direalisasikan.