Diterbitkan pada 8 April 2026, 23:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Dari Meja Editor anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengangkat khazanah keilmuan Islam melalui kupasan mendalam terhadap karya berjudul Tafsir al-Marbawi: Quran Bergantung Makna Melayu.

Program pada kali ini menjadi wadah pencerahan kepada masyarakat tentang keistimewaan manuskrip klasik yang mencerminkan kekayaan tradisi intelektual Melayu–Islam.

Program ini dikendalikan oleh moderator, Tuan Haji Mohamad Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, dengan menampilkan dua orang ahli panel, iaitu YBhg. Profesor Madya Dr. Haziyah Hussin dan YBrs. Dr. Sabri Mohamad.

Kedua-dua panel berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merupakan antara empat orang panel yang terlibat dalam kerja tahkik dan taklik bagi penerbitan karya tersebut.

Menurut Profesor Madya Dr. Haziyah, pelibatan beliau dalam projek ini bermula pada tahun 2013 apabila manuskrip asal diserahkan oleh cucu al-Marbawi kepada pihak UKM. 

“Manuskrip tersebut dalam keadaan lama dengan kertas yang telah menguning, namun tulisan tangan Jawi yang kemas dan jelas tetap memukau para penyelidik.

“Terdapat tiga kumpulan manuskrip yang diserahkan, termasuk satu tafsir yang kini diterbitkan, satu lagi tafsir ringkas yang belum diterbitkan, serta catatan tambahan untuk kamus Arab–Melayu al-Marbawi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa cabaran utama dalam penerbitan ini ialah kos yang tinggi. Namun begitu, usaha tersebut berjaya direalisasikan hasil kerjasama pihak korporat seperti Bank Islam dan SME Bank yang memberikan sokongan kewangan bagi kerja penyuntingan awal. 

YBhg. Profesor Madya Dr. Haziyah Hussin.

Menurut beliau, proses menaip semula manuskrip bermula pada tahun 2014 dan mengambil masa kira-kira setahun, melibatkan penukaran tulisan tangan kepada teks Jawi dan seterusnya kepada Rumi.

Dalam pembentangannya, Profesor Madya Dr. Haziyah turut menjelaskan keunikan judul asal karya ini, iaitu Quran Bergantung Makna Melayu.

Menurut beliau, istilah tersebut merujuk pendekatan penterjemahan yang meletakkan makna perkataan secara langsung di bawah kalimah al-Quran.

Pendekatan ini memudahkan pembaca memahami maksud ayat secara langsung dan dekat dengan jiwa masyarakat Melayu.

Tambah beliau, tafsir ini juga menunjukkan keautentikan sumber apabila al-Marbawi merujuk karya tafsir muktabar seperti Tafsir al-Jalalain, Tafsir an-Nasafi, Hasyiyah al-Sawi dan Tafsir al-Khazin

“Walaupun penulisan al-Marbawi tidak menghuraikan secara panjang lebar, beliau menggunakan pendekatan ringkas dengan menyatakan rujukan tanpa memetik keseluruhan teks, menjadikan gaya penulisan lebih lancar dan mudah diikuti,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Sabri Mohamad menekankan cabaran dalam memahami bahasa Melayu lama yang digunakan oleh al-Marbawi.

Menurut beliau, struktur ayat yang dipengaruhi oleh lenggok bahasa Arab serta penggunaan istilah lama memerlukan penelitian mendalam, termasuk merujuk ahli bahasa dan kamus bagi memastikan ketepatan makna.

YBrs. Dr. Sabri Mohamad.

Beliau turut menegaskan keistimewaan tafsir ini dari segi komitmen al-Marbawi dalam menulis ayat al-Quran menggunakan kaedah Rasm Uthmani, iaitu piawaian penulisan al-Quran yang diiktiraf oleh majoriti ulama. 

Karya Tafsir al-Marbawi: Quran Bergantung Makna Melayu merupakan hasil penulisan ulama tersohor, Mohamed Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi (1896–1989).

Manuskrip ini dihasilkan pada 21 Syaaban 1375 bersamaan 2 April 1956 ketika beliau berada di Kaherah, Mesir. 

Naskhah tersebut setebal 377 halaman, merangkumi tafsiran daripada Surah al-Fatihah hingga Surah al-An‘am ayat 14, termasuk indeks.

Pendekatan tafsir yang digunakan bersifat tahlili, iaitu menghuraikan makna ayat secara berperingkat dengan bersumberkan ayat al-Quran lain, hadis Nabi Muhammad SAW, serta pandangan para sahabat.

Turut hadir dalam majlis ialah Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, Puan Faizah Hashim, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua editor, karyawan DBP serta pelajar dari Maahad Tahfiz Masjid al-Ridhuan, Hulu Kelang.

Kredit Foto: Muhamad Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi