Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Ampat – Kejayaan sesebuah institusi bukan sahaja bergantung pada dasar dan perancangan yang baik, tetapi juga komitmen, keikhlasan dan integriti setiap individu yang melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Sungai Baru, Simpang Ampat, baru-baru ini.
“Bagi menjalankan sebarang amanah, setiap pihak tidak mengira siapa-siapa hendaklah sentiasa mengekalkan semangat kerjasama, profesionalisme dan ketulusan hati ketika menguruskan tugas masing-masing.”
“Segala usaha yang dirancang juga mestilah memberikan manfaat yang nyata kepada masyarakat, khususnya bagi memperkukuh lagi kesejahteraan umat serta memastikan organisasi yang diwakili akan terus dihormati dan diyakini.”
“Didoakan agar Allah SWT memelihara niat, mempermudahkan urusan, dan membimbing setiap langkah dalam menguatkuasakan segala kepercayaan yang diberikan,” menurut kenyataan tersebut.
Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada kesempatan yang sama, baginda berharap semoga segala usaha yang dilakukan di bawah naungan MAIPs menjadi amal soleh yang memberikan manfaat di dunia dan menjadi pemberat timbangan di akhirat kelak.
Program kayuhan ini terus diperkasakan sebagai medium utama bagi mendekati serta menyantuni golongan yang memerlukan di seluruh Perlis.
Inisiatif murni yang diterajui oleh MAIPs ini menggabungkan elemen gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal dengan misi dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan secara langsung di lapangan.
Bersempena dengan program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs yang merangkumi bantuan wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah kepada para penerima yang terpilih.