Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Polis Diraja Malaysia (PDRM) disambut pada 25 Mac setiap tahun bagi memperingati penubuhan PDRM. Sambutan hari tersebut juga bertujuan untuk menghargai jasa anggota polis yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan penting polis bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Pada 25 Mac 2026, PDRM menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-219.
Secara fitrah, manusia mahukan kehidupan yang aman dan selamat. Keamanan dan keselamatan merupakan asas kehidupan yang sejahtera, bahkan merupakan fitrah manusiawi yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Fitrah manusiawi tidak mahu hidup dalam suasana huru-hara, ketakutan dan keganasan.
Allah SWT menyebut nikmat keamanan sebagai satu daripada anugerah besar kepada manusia melalui firman-Nya:

Maksudnya: “Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan.” (Surah Quraisy 106:4).
Ayat ini menyatakan bahawa keamanan merupakan nikmat besar yang seiring dengan nikmat rezeki. Tanpa keamanan, manusia tidak berupaya menjalani kehidupan dalam ketenangan; ibadah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna; ekonomi tidak akan berkembang; ilmu tidak akan bercambah; dan masyarakat tidak dapat hidup secara harmoni.
Keamanan bukan sahaja merupakan fitrah manusiawi, bahkan tuntutan syariat Islam. Para ulama menghuraikan syariat Islam diturunkan untuk memelihara kemaslahatan manusia melalui konsep maqasid syariah. Maqasid syariah bermaksud matlamat yang dikehendaki oleh Allah SWT. Para ulama merumuskan lima maqasid atau matlamat utama yang wajib dipelihara, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Lima maqasid ini tidak dapat dipelihara tanpa keamanan. Jika keamanan tergugat, agama tidak dapat dijaga; nyawa manusia akan terancam; akal manusia sukar berkembang; keturunan tidak terpelihara; dan harta benda akan musnah. Betapa besarnya nikmat keamanan dalam kehidupan manusia, yang diperingatkan melalui sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang pada waktu paginya berada dalam keadaan aman di tempat tinggalnya, sihat tubuh badannya, dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seolah-olah telah dihimpunkan baginya seluruh dunia.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2346).
Umat Islam perlu meyedari bahawa nikmat keamanan tidak hadir secara tiba-tiba. Keamanan hanya tercapai menerusi usaha, kerjasama dan pengorbanan daripada pelbagai pihak. Di negara kita, tanggungjawab besar memelihara keamanan diamanahkan kepada PDRM.
Anggota PDRM berperanan utama untuk menjaga keamanan, ketenteraman awam dan keselamatan negara, berlandaskan undang-undang demi memastikan negara dan rakyat hidup dalam suasana aman, tenteram dan selamat. Anggota polis diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mencegah dan membanteras jenayah, melindungi keselamatan rakyat, menyiasat jenayah, merisik ancaman, menangkap pesalah, menangani keganasan, juga mengurus dan memastikan kelancaran lalu lintas, serta mengawal keselamatan di sempadan perairan dan daratan negara.
Profesion polis memerlukan semangat dan pengorbanan yang tinggi daripada anggotanya. Pengorbanan anggota polis untuk menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara amat besar, merangkumi kesediaan menempuh ancaman dan bahaya, hatta kepada peringkat bertaruh nyawa.
Hal ini termasuk pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ahli keluarga. Banyak anggota polis yang menghadapi kecacatan kekal, kehilangan anggota badan semasa menjalankan tugas, malah banyak juga yang terkorban – meninggalkan isteri menjadi balu dan anak menjadi yatim.
Kemalangan jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada pagi 13 Mei 2025, yang mengakibatkan sembilan orang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan maut dan sembilan orang lagi cedera parah, merupakan contoh peristiwa menyayat hati yang dialami oleh anggota polis dan keluarga mereka.
Tugas anggota polis tidak mengenal tempat dan masa. Mereka diperlukan untuk bertugas selama 24 jam sehari semalam di serata tempat, serta dipertanggungjawabkan untuk memantau setiap kejadian dan peristiwa yang berlaku. Ketika majoriti kita menikmati juadah sahur dan berbuka puasa di rumah bersama-sama dengan kaum keluarga, banyak dalam kalangan anggota polis yang diperlukan untuk bertugas. Mereka bersahur dan berbuka puasa, menjamah rezeki secara ala kadar di pinggir jalan, di dalam kereta peronda, di balai, malah di hutan dan di lautan.
Ketika majoriti kita berpakaian indah dan menikmati kemewahan juadah pada pagi raya, banyak pula anggota polis yang menyarung uniform, ditugaskan mengawal lalu lintas atau meronda di kota dan di desa, di sempadan negara sama ada di lautan, di pergunungan, mahupun di hutan.
Menghargai Pengorbanan Anggota Polis
Ummah sewajibnya menghargai khidmat dan pengorbanan para anggota polis, demikian juga pengorbanan ahli keluarga mereka. Penghargaan ini boleh digarap dengan cara:
Setinggi-tinggi terima kasih kepada PDRM, anggota dan ahli keluarga mereka atas khidmat dan pengorbanan yang diabadikan kepada negara dan warga. Semoga segala khidmat dan pengorbanan mereka diterima sebagai amar makruf dan ibadah yang dilimpahkan ganjaran di dunia dan di akhirat oleh Allah SWT.
Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 27 Mac 2026, bertajuk “Keamanan Negara Tuntutan Maqasid Syariah”.