Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama dengan lebih 2000 rakyat negeri itu di Dataran Istiadat, Istana Arau pada Sabtu.
Kehadiran para jemaah yang disertai oleh ahli kariah Kota Raja khususnya berlangsung dalam suasana yang penuh kesyukuran, kasih sayang dan kemeriahan.
Terdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat tiba di pekarangan Dataran Istiadat pada pukul 7.55 pagi sebelum diikuti oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin pada pukul 7.56 pagi.
Pelaksanaan solat sunat Aidilfitri bermula pada pukul 8.00 pagi dan dipimpin oleh Imam Besar Negeri Perlis, Ustaz Amnan Muthqa Azanol.
Sejurus selesai solat sunat Aidilfitri, Mufti Perlis, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan khutbah khas yang bertajuk “Membina Kemuliaan Umat”.
Pada masa yang sama, baginda berdua turut meluangkan masa untuk beramah mesra serta bergambar kenangan bersama-sama dengan para jemaah.
Yang turut hadir menunaikan solat Sunat Aidilfitri ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al‑Haj Jamalullail, serta puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Sementara itu, solat sunat Aidilfitri seluruh Perlis pada tahun ini diadakan di kawasan tanah lapang sepertimana kelaziman tahun sebelum ini yang diselaraskan bermula antara pukul 7.45 pagi hingga pukul 8.15 pagi tertakluk kepada ketetapan jawatankuasa kariah masing-masing.