Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus menyemarakkan semangat cinta akan al-Quran dalam kalangan warganya melalui penganjuran Majlis Khatam al-Quran yang berlangsung di Surau al-Hukama’, Wisma DBP, hari ini.
Program tahunan ini bertujuan bukan sahaja untuk menghidupkan syiar Islam pada bulan suci, malah menjadi platform utama yang mengeratkan hubungan serta memupuk budaya mencintai kalam Allah SWT sebagai panduan hidup.
Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia DBP, YBrs. Tuan Haji Hamidi Baharom menekankan bahawa pihak pengurusan DBP sentiasa menyokong penuh program kerohanian seperti ini.
“Pelibatan sebanyak 83 orang peserta yang terdiri daripada 21 orang lelaki dan 62 orang wanita pada tahun ini merupakan suatu pencapaian yang murni.
“Meskipun jumlah penyertaan sedikit menurun berbanding dengan tahun sebelumnya, kejayaan sebenar program ini terletak pada kesinambungannya yang terus dilaksanakan dan memberikan manfaat kepada warga DBP,” ujar beliau.
YBrs. Tuan Haji Hamidi mengharapkan program seperti ini dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang.
Beliau turut menyarankan agar amalan membaca al-Quran, khususnya Surah al-Kahf dijadikan rutin bagi mendapat keberkatan yang berterusan.
Sementara itu, Pengerusi Surau al-Hukama’ DBP, YBrs. Encik Syed Mashor Syed Mustafa dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan perasaan syukur dan bangga atas komitmen kakitangan yang sudi meluangkan masa di tengah-tengah kesibukan tugas untuk bersama-sama bertadarus.
“Al-Quran ialah panduan dan rujukan terpenting bagi umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.
“Amalan membaca dan memahami isinya menjadi inspirasi untuk kita mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat,” ujar beliau.
Sebagai pengisian rohani, majlis menjemput penceramah khas daripada Kolej Universiti Inovatif, Ustaz Muhammad Zakaria Zulkifli.
Dalam tazkirah ringkasnya, beliau menyentuh tentang keistimewaan bulan Ramadan sebagai bulan Nuzul al-Quran.
Pengisian ini memberikan kesedaran mendalam kepada para hadirin tentang betapa rapatnya hubungan antara ibadah puasa dengan mukjizat agung al-Quran.
Program yang penuh bermakna ini merupakan anjuran bersama beberapa badan di bawah DBP, iaitu Biro Agama Wanita Surau al-Hukama’ DBP, Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Badan Keluarga DBP dan Kelas Agama Wanita DBP.