Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 07:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Program Hebat di Bulan Berkat (HEBAT 2026) terus memperkasakan kefahaman dan penghayatan ibadah menerusi pendekatan praktikal, interaktif dan menyeronokkan dalam kalangan pelajar pendidikan khas.

Program anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama SIG Islamic Education and Human Development, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu berlangsung di Dewan Besar SMK Syed Hussein pada Selasa.

Inisiatif ini melibatkan penyertaan sebanyak 80 orang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan bimbingan lapan orang fasilitator yang terdiri daripada pensyarah universiti, serta sokongan padu lapan orang guru sekolah berkenaan.

Pengisiannya memberikan tumpuan khusus terhadap pengukuhan kefahaman asas ibadah seperti wuduk, azan, iqamat, serta ibadah puasa dan solat.

Melalui kaedah pembelajaran yang mudah difahami dan berorientasikan praktikal, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan teori, malah diberikan panduan untuk mengamalkannya dengan lebih yakin dan istiqamah.

Antara pengisian utama program tersebut termasuklah “Solat Itu Indah” yang bertujuan menguji dan mengukuhkan daya ingatan para peserta berkaitan dengan solat dan rukunnya, selain menerapkan konsep ganjaran pahala sebagai motivasi untuk melakukan kebaikan.

Aktiviti “Misi Hero Puasa” turut membantu pelajar mendalami hikmah berpuasa, dan mengenal pasti amalan yang dapat meningkatkan pahala, sekali gus memupuk semangat mereka untuk menjadi insan yang hebat sepanjang Ramadan.

Para peserta ketika membentangkan hasil perbincangan mereka dalam sesi aktiviti berkumpulan.

Menurut Pengarah Program, Dr. Noraini Ismail, program HEBAT 2026 bukan sekadar aktiviti pengisian pada bulan Ramadan, sebaliknya pelaksanaannya bertindak sebagai medan dakwah yang menyantuni sanubari golongan yang memerlukan kefahaman agama.

“Kita yakin bahawa setiap anak istimewa ini mempunyai potensi besar untuk menghayati ajaran Islam sekiranya pendekatan yang digunakan bersesuaian dengan tahap keupayaan mereka.

“Program ini membuktikan bahawa pendidikan Islam boleh disampaikan secara kreatif, inklusif dan penuh kasih sayang, selaras dengan semangat Ramadan yang membawa rahmat kepada semua,” katanya.

Dr. Noraini Ismail ketika memberikan penerangan kepada para peserta.

Majlis penutup program berkenaan diserikan dengan kehadiran wakil pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Perlis, pihak pentadbiran sekolah serta pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Sementara itu, inisiatif tersebut memperlihatkan komitmen bersepadu antara institusi pengajian tinggi dengan pihak sekolah dalam usaha membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi