Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Umat Islam sewajarnya memanfaatkan kedatangan Ramadan sebagai medan muhasabah diri untuk menjadi insan yang lebih baik, di samping merebut keistimewaannya, seolah-olah bulan tersebut merupakan peluang terakhir buat mereka.
Menurut pendakwah bebas, Wan Nurhazila Wan Azri, para sahabat, orang soleh dan tabiin sentiasa berdoa agar mereka dipertemukan kembali dengan Ramadan pada tahun berikutnya, sekali gus menggambarkan betapa besarnya kedudukan bulan tersebut dalam kehidupan mereka.
Kata beliau, Allah SWT menyediakan keampunan yang luas dan ganjaran berlipat kali ganda, khususnya kepada mereka yang menunaikan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan keinsafan.
“Setiap individu Muslim perlu menyedari segala dosa yang dilakukan dan melazimkan istighfar sebagai usaha membersihkan jiwa,” katanya ketika menyampaikan ceramah Ramadan beliau bertajuk “Ibadah yang Menghidupkan Hati”.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) DBP itu diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP pada Rabu.
Selain itu, Wan Nurhazila menyifatkan perjalanan hidup manusia di dunia seumpama pendakian bukit yang memikul beban berat, iaitu dosa yang terkumpul sepanjang kehidupan, memandangkan mereka tidak terlepas daripada kesilapan dan kekhilafan.
Jelas beliau, beban tersebut perlu diringankan menerusi taubat agar jiwa kembali bersih dan berakhlak mulia sebagai persediaan untuk bertemu dengan Allah SWT kelak.
“Seseorang yang bebas daripada dosa, jiwanya lebih tenang, kehidupannya lebih teratur dan akhlaknya lebih terpelihara,” ujarnya.
“Berazamlah untuk berubah, tidak mengulangi kesalahan yang sama dan tidak menangguhkannya dalam bulan yang mulia ini.
“Taubat mesti dilakukan dengan penuh keinsafan atas pelanggaran syariat Allah SWT, di samping menjaga hubungan sesama manusia,” tambahnya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan membiasakan lidah dengan zikir, menghadiri majlis ilmu, memelihara tutur kata serta menjauhkan diri daripada perbuatan mengumpat.
Ujar beliau, setiap perbuatan dosa meninggalkan titik hitam dalam hati menyebabkan hati menjadi keras, mati dan sukar untuk beribadah.
Wan Nurhazila turut berkongsi panduan meningkatkan kualiti ibadah puasa, termasuklah memperbanyak amalan membaca al-Quran, solat sunat, qiamullail, sedekah, iktikaf dan berdoa, terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadan.
Beliau mengingatkan bahawa Rasulullah SAW meningkatkan kesungguhan ibadah pada tempoh tersebut serta mengajak ahli keluarganya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.
Memetik kata Luqman al-Hakim, beliau berkata, perut yang dipenuhi dengan makanan dan kekenyangan boleh mengakibatkan fikiran menjadi lesu, hikmah menjadi tumpul dan anggota tubuh malas beribadah.
“Ramadan bukan bulan makanan untuk memenuhi perut ketika berbuka puasa, sebaliknya merupakan peluang mendidik diri untuk meningkatkan amal yang sepatutnya diteruskan selepas berakhirnya bulan tersebut,” katanya.