Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPendidikan ibadah sangat penting dan perlu dimulakan sejak awal secara berterusan melalui amalan praktikal. Tanpa latihan yang konsisten, sesuatu perkara sukar sebati dalam hati dan jiwa.
Secara umum, didikan yang baik bermula dari rumah oleh ibu bapa dan diperkukuh di sekolah. Anak yang dibimbing dengan baik akan mampu melaksanakan ibadah seperti puasa apabila sudah bersedia. Iman yang dididik sejak kecil akan membentuk amalan yang berterusan sehingga dewasa, dan menjadi harta yang paling berharga dalam kehidupan.
Kepentingan Pendidikan Ibadah
Dalam 30 Wasiat Imam al-Ghazali karya Abu Ahmad Yasin, wasiat yang kelima menegaskan bahawa usaha menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan ibu bapa. Anak yang dibesarkan dengan didikan iman akan membesar dalam suasana yang peka dan sensitif terhadap Tuhan. Apabila kekuatan iman berakar dalam jiwa, mereka akan memiliki perasaan malu dan takut untuk melakukan dosa.
Oleh sebab itu, pendidikan iman dan ibadah bertujuan menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk yang praktikal dan memberi fungsi bagi segala anggota dan pancaindera manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Pendidikan yang berkesan berperanan mendidik anak tentang cara menyembah, mentaati, serta memohon pertolongan dan keampunan kepada-Nya.
Dalam 30 Cetusan Kalbu Imam Bukhari Umat Akhir Zaman, Abdul Rahman Abd Majeed menukilkan pandangan Imam al-Bukhari bahawa iman itu mempunyai perhiasan. Hiasannya ialah amal ibadah dan khusyuknya hati kepada yang disembah, iaitu Allah SWT. Oleh itu, usah mengotorkan iman dengan maksiat dan kederhakaan.
Pendidikan ibadah merupakan tuntutan penting dalam kehidupan setiap Muslim bagi merealisasikan peranan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Melalui ibadah, manusia dapat menyempurnakan tuntutan agama dan membentuk ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Beribadahlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:21).
Ibadah puasa khususnya, merupakan latihan rohani yang membentuk keimanan, kesabaran dan pengabdian diri kepada Allah SWT.
Kewajipan Puasa Ramadan
Puasa pada bulan Ramadan bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari kerana Allah SWT. Selain itu, umat Islam juga dituntut menahan diri daripada bercakap tentang perkara yang sia-sia, perkataan yang diharamkan, perkara yang membangkitkan syahwat, serta segala perkara yang makruh dan boleh mengurangkan pahala puasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:183).
Puasa Ramadan merupakan satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang akil baligh. Tindakan meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat diganti dengan qada dari sudut nilainya.
Peranan Ibu Bapa Mendidik Anak Berpuasa
Ibu bapa memainkan peranan utama untuk mendidik anak melaksanakan ibadah puasa sejak kecil. Tanpa bimbingan dan latihan yang berterusan, sesuatu amalan sukar diperkukuh dalam diri anak.
Kanak-kanak boleh dilatih berpuasa secara berperingkat, sama ada separuh hari ataupun sehari penuh mengikut kemampuan. Bagi anak yang berusia empat tahun hingga tujuh tahun dan yang menghampiri usia akil baligh, ibu bapa perlu menjelaskan bahawa puasa Ramadan merupakan satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan apabila seseorang Muslim mencukupi syaratnya.
Rukun puasa terdiri daripada dua perkara utama, iaitu berniat pada waktu malam dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa. Niat hendaklah dilakukan sebelum terbit fajar bagi membezakan antara puasa fardu dengan puasa sunat. Contoh lafaz niat ialah, “Aku berniat berpuasa pada esok hari untuk menunaikan fardu Ramadan pada tahun ini kerana Allah SWT.”
Syarat wajib puasa pula meliputi beragama Islam, akil baligh dan berakal. Orang yang tidak berakal seperti gila atau pengsan tidak diwajibkan berpuasa. Kanak-kanak yang belum akil baligh juga tidak diwajibkan, namun mereka digalakkan berlatih sebagai persediaan dan pendidikan awal.
Syarat sah puasa ialah beragama Islam, suci daripada haid dan nifas, serta berpuasa pada waktunya, iaitu dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Jika satu daripada syarat ini tidak dipenuhi, maka puasa tersebut tidak sah. Oleh itu, penting untuk memastikan diri berada dalam keadaan yang memenuhi syarat sebelum melaksanakan ibadah puasa.
Selain memenuhi rukun dan syarat, umat Islam juga digalakkan mengamalkan sunah dan menjaga adab ketika berpuasa. Antaranya termasuklah bersahur dan melewatkan sahur, menyegerakan berbuka, membaca doa, menjaga lidah, mengawal marah, serta memelihara pandangan dan hati. Amalan ini bukan sahaja menyempurnakan puasa, malah membantu membentuk akhlak yang lebih baik sepanjang bulan Ramadan.
Menghidupkan Ramadan dengan Ibadah
Ramadan ialah bulan yang penuh keberkatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Bulan Ramadan ialah bulan yang diturunkan al-Quran padanya sebagai petunjuk bagi manusia … .” (Surah al-Baqarah 2:185).
Sehubungan itu, ibu bapa hendaklah berusaha menerapkan pendidikan ibadah dalam diri sendiri dan anak. Perkara yang berikut boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa bagi mencapai matlamat ini.
Puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan memperoleh ganjaran besar daripada Allah SWT, termasuk keampunan dosa dan balasan syurga. Orang yang berpuasa juga memperoleh dua kegembiraan sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Allah SWT berfirman: ‘… Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperoleh dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya … .’” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 7492).
Ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi merupakan latihan rohani yang mendidik hati, membina iman dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Pendidikan puasa dalam keluarga amat penting agar anak memahami konsep puasa secara menyeluruh dan mampu menghayati ibadah ini dalam kehidupan seharian.
Melalui bimbingan secara berterusan, ibadah puasa akan menjadi asas pembentukan peribadi Muslim yang bertakwa, serta memperoleh keberkatan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.