Diterbitkan pada 25 Februari 2026, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cheras – Sebanyak 24 761 orang calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2025 yang diumumkan pada pagi tadi.

Pengumuman tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan bersempena dengan Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak, di sini.

Menurut beliau, berdasarkan Laporan Analisis Keputusan UPKK 2025, Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan peningkatan kepada 1.83 berbanding dengan 1.85 pada tahun 2024, sekali gus menunjukkan prestasi calon yang lebih baik.

“Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki semua kertas peperiksaan, peratus kelulusan keseluruhan UPKK 2025 ialah 89.61 peratus.”

“Selain 24 761 orang calon yang memperoleh 9A, sebanyak 25 230 orang calon mendapat 8A manakala 18 990 orang calon meraih 7A,” katanya.

Sebanyak 252 997 orang calon telah berdaftar untuk menduduki UPKK 2025, meningkat 5.17 peratus berbanding dengan 240 244 orang calon pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 251 392 orang calon atau 99.37 peratus hadir menduduki peperiksaan, manakala kadar ketidakhadiran menurun kepada 0.63 peratus berbanding dengan 1.36 peratus pada tahun 2024.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 163 orang Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) daripada pelbagai kategori turut menduduki peperiksaan UPKK pada tahun ini, kecuali di Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang.

Empat orang calon MBPK masalah penglihatan turut diraikan sebagai jemputan istimewa pada majlis tersebut.

Calon MBPK masalah penglihatan ini menjawab peperiksaan sepenuhnya menggunakan kaedah Braille dengan kertas soalan dan jawapan dipindah tulis khas.

Calon MBPK juga diberikan tambahan masa 30 minit bagi kertas bertulis, manakala calon rabun disediakan kertas cetakan besar.

Mengulas mengenai pelaksanaan KAFA, beliau berkata program yang diperkenalkan sejak tahun 1990 itu terus relevan sebagai pemangkin pendidikan Islam peringkat rendah, termasuk melalui pelaksanaan Kurikulum KAFA 2.0 dan format baharu UPKK yang diperkenalkan bermula pada tahun 2024.

Format baharu itu melibatkan tujuh mata pelajaran di bawah Pentaksiran Pusat, iaitu al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab serta Ibadah, selain dua komponen Pentaksiran Bilik Darjah, iaitu Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar menerima keputusan anak dengan penuh kasih sayang dan tidak menjadikan peperiksaan sebagai ukuran mutlak kejayaan.

“Keputusan peperiksaan bukan pengakhiran, tetapi satu langkah kecil dalam perjalanan panjang menuntut ilmu dan membina kehidupan,” katanya.

Kredit Foto: Tangkap layar JAKIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi