Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan mengurniakan watikah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, baru-baru ini.
Penubuhan lembaga penasihat dan penyelarasan yang diwujudkan buat julung-julung kalinya oleh MAIPs ini merupakan manifestasi kesungguhan badan tertinggi agama Islam negeri bagi memastikan agenda pemerkasaan serta penambahbaikan pendidikan Islam di Perlis dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, tersusun dan holistik.
Majlis tersebut melibatkan pelantikan barisan ahli lembaga yang akan menggalas amanah besar bagi merangka, menasihati, serta menyelaras hala tuju pendidikan Islam di Perlis ke arah kecemerlangan berteraskan nilai Rabbani.
Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda Perlis menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli lembaga yang telah dilantik.
“Diharapkan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan komitmen demi memartabatkan syiar Islam serta menjamin masa depan pendidikan anak Perlis.
“Semoga segala usaha murni ini mendapat keberkatan Allah SWT bagi melahirkan generasi Rabbani yang berilmu, berakhlak dan cemerlang,” titah baginda.
Dalam majlis tersebut, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Akram Datuk Dahaman @ Dahlan dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam Negeri Perlis.
Turut dilantik sebagai ahli lembaga ialah Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Global Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), YBrs. Profesor Dr. Asyraf Isyraqi Jamil; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Puan Maizura Shamsuddin; serta Timbalan Mufti Negeri Perlis, Tuan Haji Tajul Urus Abdul Halim.
Selain itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin; Pengarah Yayasan Islam Perlis, Noorhamizi Mohd Yaacob; Ketua Penolong Pengarah Pendidikan JAIPs, Muhammad Haafzuddin Abirerrah; dan Penolong Pengarah Pendidikan JAIPs, Mohammad Isyraf Ishak turut menganggotai lembaga berkenaan.