Diterbitkan pada 15 Disember 2025, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan membicarakan buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times yang merupakan karya terkini Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


S

udah pasti ada yang mengeluh dengan lenggok bahasa aras tinggi yang digunakan penulis dalam Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times. Memetik kata-kata Harold Bloom, beliau menyatakan, “Jika kita tidak membaca secara mendalam, kita tidak akan belajar cara berfikir. Jika sebagai sebuah negara, kita tidak belajar cara berfikir, suatu hari nanti kita akan berhenti menjadi negara demokrasi.”

Merakyatkan Pemikiran

Menjadi suatu keperluan untuk pembaca menaik taraf kualiti pembacaan dan membiasakan diri dengan karya besar agar dapat merangsang dan mencergaskan pemikiran. Walau bagaimanapun, saya masih berpandangan bahawa perlu ada usaha untuk merakyatkan idea besar dalam buku ini.

Penerangan, pencerahan, penjelasan, huraian dan kupasan boleh dilakukan menerusi pelbagai pendekatan dan platform. Perkara ini merangkumi infografik, wacana, seminar, forum, bedah buku, video, media sosial, bicara ilmuwan, audio siar, serta komik dan animasi.

Usaha merakyatkan serta mempermudah penyampaian mesej buku ini agar dapat difahami oleh segenap lapisan masyarakat amat penting. Saya juga menyarankan buku ini diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan dijadikan bacaan wajib sebagai panduan dan bimbingan untuk menavigasi realiti dan cabaran hari ini dan masa hadapan.

Masyarakat MADANI Masyarakat Berfikir

Keunikan penulis dari sudut pemikiran ialah keupayaan beliau untuk mensintesiskan dan mengharmonikan idea serta gagasan tokoh dan pemikir dunia di Timur dan di Barat, tradisional dan kontemporari, serta menghubungjalinkannya dalam konteks global, serantau, Nusantara dan Malaysia. Kita bukan sahaja didedahkan kepada idea pemikir Barat mahupun Arab dan Timur, bahkan penulis menghargai dan mengiktiraf gagasan tokoh Nusantara seperti Jose Rizal, Buya Hamka, Pak Natsir, Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.

Dengan kekuatan tersebut, idea yang dibawa oleh penulis sangat berwawasan, berpandangan jauh dan terkehadapan bagi meraikan kepelbagaian budaya, perbezaan martabat, keadaan sosioekonomi, kelainan agama dan bangsa, serta kedinamikan politik dan hubungan antarabangsa.

Buku Rethinking Ourselves sememangnya karya penting yang perlu ditelaah dan diwacanakan. Buku ini menyediakan landasan idea pendorong untuk melakukan islah atau perubahan. Buku ini menganalisis dan mencerakinkan idea besar pemikiran, falsafah, teori sosial dan politik dari pelbagai perspektif, termasuklah wacana politikal Islam.

Karya Rethinking Ourselves ini menunjukkan bahawa penulis merupakan seorang negarawan dan intelektual yang bervisi dan berpandangan jauh. Edward Said dalam Representations of the Intellectuals menekankan betapa pentingnya intelektual sebagai peneraju perubahan. Katanya,

Tidak pernah berlaku sebarang revolusi besar dalam sejarah moden tanpa peranan golongan intelektual. Sebaliknya, tidak pernah juga wujud gerakan revolusi balas besar tanpa keterlibatan golongan intelektual. Golongan intelektual merupakan bapa dan ibu kepada sesuatu gerakan, dan begitu juga anak-anaknya, malah para saudara serta pewarisnya.

Malaysia bertuah kerana memiliki pemimpin yang intelek, berilmu, serta sarat dengan gagasan pemikiran dan idea besar untuk memacu perubahan dalam dunia yang serba kompleks dan rumit.

Malaysia MADANI dan budaya ilmu berpisah tiada.


YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi