Diterbitkan pada 5 Disember 2025, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan membicarakan buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times yang merupakan karya terkini Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times perlu dibaca dengan teliti kerana setiap bab mempunyai kekuatan dan mesej tersendiri. Lebih utama, buku ini mesti dibaca secara tertib mengikut urutan bab kerana setiap bab mempunyai kaitan dan kesinambungannya tersendiri. Pembaca juga digalakkan untuk meneliti dan melakukan bacaan lanjutan terhadap karya yang dipetik dan dirujuk dalam buku ini.

Idea Besar dalam Rethinking Ourselves
Buku ini dimulakan dengan prolog yang bertajuk Eye on the Storm. Mukadimah ini sangat penting kerana menjadi pemula kepada perbincangan yang lebih berat dalam bab yang lain. Jatuh bangun penulis dengan ujian begitu hebat sejak awal dunia perjuangannya. Penulis dipecat, dipenjarakan, dimalukan, dikhianati dan dizalimi.

Detik 2 September 1998 merakamkan penulis dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan pada 20 September tahun yang sama, beliau ditangkap dan dipenjarakan. Pengalaman penulis dipenjarakan sebanyak tiga kali yang ditemani oleh al-Quran dan buku-buku melahirkan insan yang baharu, lebih bijaksana, matang, berhikmah, berbudi, berilmu dan paling utama, sentiasa berfikir.

Bab kedua dengan tajuk Postcolonial Angst menelusuri perkembangan di Barat dan di Timur termasuklah di Nusantara. Penulis mewacanakan konsep perhambaan, kapitalisme, komunisme, perang dingin, kolonialisme, imperialisme dan persoalan negara dunia ketiga. Penulis merangsang pembaca untuk berfikir semula tentang pengaruh kolonialisme yang berlatarkan ketinggian penjajah menerusi istilah bahasa Inggeris, superior western culture (budaya Barat yang unggul), colonised and colonizer (terjajah dan penjajah) dan slave and master (hamba dan tuan). Kemudian, penulis membincangkan kelangsungan pascakemerdekaan dalam konteks Malaysia, termasuklah memperingatkan mengenai future colonialism atau penjajahan masa hadapan.

Bab Justice for Our Time menelusuri dan menghuraikan konsep dan makna keadilan menurut erti kata yang sebenarnya dalam konteks realiti hari ini. Penulis memulakan bab dengan mengupas kitab turath berjudul Munyatul Musalli karya Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Penulis ada menerbitkan catatan kitab ini dalam bentuk buku dengan judul Keadilan bagi Orang yang Bersolat. Penulis merujuk konsep keadilan yang terkandung dalam al-Quran dan mengulas secara khusus bab terakhir, tatmim al-fa’idah berkaitan dengan maqasid solat dan tuntutan untuk menegakkan keadilan.

Penulis meluaskan dimensi keadilan dengan mengharmonikan tradisi dan kefahaman Barat menerusi pemikiran, antaranya termasuklah John Rawls, Robert Nozick dan Amartya Sen. Konsep keadilan Barat ini kemudiannya diharmonikan dengan menyentuh konsep keadilan dalam al-Quran, termasuklah membincangkan pandangan sarjana Muslim seperti al-Farabi, al-Fadl, Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Dalam konteks keadilan ekonomi, penulis meneliti pemikiran sarjana dunia seperti John Locke, Adam Smith, Jeremy Bentham, John Stuart Mill dan Thomas Picketty. Keadilan ialah tiang seri kepada tamadun, sejajar dengan prinsip al-‘adl wa al-ihsan (keadilan dan kebaikan) dalam Islam. Penulis memperkenalkan gagasan idea ekonomi manusiawi untuk keadilan sosial. Keadilan yang disebut bukan bersifat inklusif, tetapi dalam bentuk kewujudan bersama sejagat atau global convivencia. Hal ini bersesuaian dengan konsep ummatan wasata yang terkandung dalam al-Quran.

Bab Liberating Democracy meneliti realiti dan cabaran melaksanakan keadilan dalam konteks demokrasi. Demokrasi boleh melahirkan pemimpin yang baik. Akan tetapi, sekiranya tidak diasaskan dengan nilai dan moral, pemimpin juga boleh menghasilkan pemimpin yang zalim. Plato mengingatkan bahawa demokrasi berpotensi mencipta diktator dan pemimpin kuku besi.

Penulis membangkitkan bahawa demokrasi pada hari ini memerlukan reformasi tersendiri. Bagi maksud ini, penulis mengharmonikan pandangan Islam dan demokrasi yang selari dengan konsep syura. Perkara ini diperhalus dengan merujuk pandangan sarjana, antaranya termasuklah al-Kawakibi, Makdisi Taha Hussin dan al-Tahtawi. Apa-apa yang lebih penting dalam demokrasi dalam konteks hari ini adalah untuk mewujudkan masyarakat berilmu dan bertamadun (disebut oleh Ziauddin Sardar sebagai wisdom communities, al-Farabi sebagai virtuous cities dan Plato sebagai desired republic) yang membuat keputusan secara rasional demi kebaikan dan kemaslahatan.

Bagi menangani persoalan Islam dan demokrasi, penulis menghuraikan dan mengharmonikannya dalam bab Reconsidering the Ummah. Bahagian ini mewacanakan tema ketamadunan dengan baik apabila penulis mengkritik perspektif Barat yang mengesampingkan perspektif tradisi lain seperti yang dipelopori oleh Samuel Huntington dan Francis Fukuyama. Mengimbangi wacana ketamadunan ini, penulis mempopularkan pemikiran Edward Said yang terkenal dengan karya orientalisme malahan menjelaskannya menerusi karya beliau, iaitu the Asian Renaissance.

Penulis secara proaktif menggerakkan Dialog antara Peradaban seawal tahun 1991 dan mempopularkan pandangan peradaban Malik Bennabi, Ibn Khaldun, Miskawayh, al-Farabi dan Muhammad Iqbal. Bagi mendepani cabaran keadilan dalam ranah demokrasi, buku ini memperkenalkan konsep ummah universal consciousness of Islam, iaitu ummah yang mendapat pencerahan daripada kegelapan dan kejahilan.

Bab the Arc of Ignorance merupakan bahagian yang sangat penting. Bab ini menganalisis cabaran dan realiti utama kepada masalah, konflik, isu dan krisis yang berlaku dalam era pascakebenaran dan pascanormal, iaitu ignorance atau kejahilan. Penulis menyebut idea dan pemikiran sarjana seperti George Santayana, Hegel, Klingberg, Schlesinger dan Gore Vidal. Penulis merumuskan bahawa kejahilan era pascanormal berbeza daripada sebelum ini kerana bersifat kompleks, global, industri dan dipenuhi kepelbagaian. Kejahilan tersebut bukan sekadar kekurangan ilmu, tetapi keengganan untuk belajar, sikap taasub, dan yang paling kritikal, kejahilan yang disengajakan.

Selain orientalisme, penulis turut mengupas orientalisme pascamoden yang menatijahkan konflik dan krisis baharu, antaranya termasuklah kebimbangan peralihan kuasa dan kejahilan atau kedangkalan ilmu. Kejahilan bentuk baharu ini menjadi penyebab konflik dan krisis seperti islamofobia yang mencetuskan kebencian terhadap orang Islam serta Islam dari sudut agama dan peradaban.

Jika Noams Chomsky menyebut mengenai manufactured consent (persetujuan terancang) sebagai agenda penindas untuk meneruskan penindasan, era pascanormal menyaksikan fenomena manufactured ignorance, iaitu kejahilan yang bukan sahaja disengajakan, malah dirancang bagi membentuk struktur kuasa.

Bab Rethinking Ourselves merumuskan apakah sebenarnya yang harus dilakukan setelah meneliti dan mengamati segala cabaran dan realiti zaman era pascakebenaran dan pascanormal ini? Penulis cuba mencetuskan dan merangsang akal untuk berfikir secara serius dan strategik, serta melakukan islah dan perubahan sedayanya. Bahagian ini memetik dan merujuk pemikir dunia, antaranya termasuklah Dante, Harold Bloom, Ibn Rushd, T.S. Elliot dan Martin Lings.

Penulis membangkitkan makna kebebasan yang perlu dinilai semula. Hal ini sangat relevan kerana beliaulah antara orang yang paling memahami dan menghargai kebebasan kerana pernah dipenjarakan bukan sekali, tetapi tiga kali. Cabaran teknologi dan kecerdasan buatan yang mengancam survival manusia juga memerlukan penilaian yang menyeluruh. Fenomena perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan yang mempengaruhi kehidupan manusia menuntut kepada keperluan agar dikawal, dipantau dan dinavigasi sebaik-baiknya.

Penilaian semula ini penting kerana teknologi dan kecerdasan buatan bukanlah penentu kepada perubahan, tetapi sikap dan etika manusia. Clay Shirky dalam bukunya, Cognitive Surplus menulis, “Revolusi tidak berlaku apabila masyarakat mengguna pakai teknologi baharu, tetapi berlaku apabila masyarakat mengamalkan tingkah laku baharu.”

Selain itu, penulis mengajak pembaca untuk menilai semula amalan ekonomi semasa berikutan kitaran krisis ekonomi yang berlaku, termasuklah persoalan ketaksamarataan yang dibangkitkan Thomas Picketty. Kecelaruan sistem kapitalisme jelas kelihatan melalui pelbagai kritikan dan gelaran seperti kapitalisme bencana (disaster capitalism), kapitalisme korup (corrupt capitalism), kapitalisme burung pemangsa (vulture capitalism), kapitalisme tiruan (counterfeit capitalism), kapitalisme jaring labah-labah (spiderweb capitalism) dan kapitalisme kasino (casino capitalism). Kritikan penulis datang dengan cadangan penyelesaian, iaitu mengarusperdanakan ekonomi manusiawi berorientasikan rakyat yang menekankan aspek maqasid syariah.

Pada bahagian akhir bab ini, penulis secara khusus membincangkan Rethinking Malaysia, iaitu menilai semula realiti dan masa hadapan negara. Usaha dan perancangan yang telah dilaksanakan perlu diberikan roh dan dimensi baharu. Sebagai contoh,

Bagi pembangunan negara, sesungguhnya bahasa Melayu itu penting, tetapi jangan sekali-kali mengabaikan penguasaan bahasa utama yang lain.

Mengemukakan idea dan penyelesaian kepada cabaran dan realiti baharu ini, penulis mengemukakan gagasan whole society approach, iaitu nilai sejagat dan kemanusiaan. Nilai sejagat ini mesti bersifat universal dan kolektif yang boleh dirumuskan sebagai SCRIPT, iaitu Sustainability (kemampanan), Compassion (ihsan), Respect (hormat), Innovation (daya cipta), Prosperity (kesejahteraan) dan Trust (keyakinan). SCRIPT inilah yang menjadi rujukan kepada Malaysia MADANI.

MADANI sebagai idea pendorong islah ini sangat konsisten kerana penulis telah mula membicarakannya sejak tahun 1990-an lagi. Pada tahun 1991, ucaptama di International Seminar on Malik Bennabi di Universiti Malaya; kemudiannya diikuti oleh ucaptama pada tahun 1995 di Festival Istiqlal, Jakarta. Penulis menerbitkan karya penting beliau yang menyentuh citra MADANI, iaitu The Asian Renaissance pada tahun 1996. Pada tahun 2022, penulis menerbitkan buku berjudul SCRIPT yang diterjemahkan menjadi Membina Negara MADANI.

Bab akhir atau epilog diberi tajuk Preparing for the Next Storm yang menzahirkan keyakinan penulis untuk mendepani perubahan. Bahagian ini dimulakan dengan menyebut legenda seni negara, iaitu P. Ramlee yang menggunakan pendekatan lembut dan halus tetapi membekas menerusi sentuhan seni yang menyentuh isu, konflik, permasalahan dan budaya masyarakat. Perkara ini memberikan satu pengajaran bahawa pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan untuk melakukan islah atau perubahan.

Apa-apa yang berbeza kali ini ialah cabaran dan realiti yang dihadapi itu sudah berubah dalam bentuk baharu yang berskala, berskop dan bersaiz besar dan begitu kompleks. Cabaran tersebut mesti ditangani dengan tangkas dan bijaksana.

Albert Einstein mengingatkan bahawa “tiada masalah boleh diselesaikan daripada kesedaran yang sama yang menciptanya”. Walau apa-apa pun yang dirancang dan dilaksanakan, semua pihak perlu rethinking atau berfikir sedalam-dalamnya agar perubahan yang didambakan adalah seimbang berorientasikan nilai, etika dan moral serta menepati maqasid syariah.


YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi