Diterbitkan pada 5 Disember 2025, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setia Alam — Isu transgender dalam masyarakat Malaysia dibincangkan secara mendalam dalam sesi Bicara Buku anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Piano Lounge, Pusat Konvensyen Setia City, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025.

Sesi tersebut memberikan tumpuan kepada buku Transgender di Malaysia: Perspektif Islam dan Perundangan, dengan pembentangan oleh pensyarah kanan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, YBrs. Dr. Pg Ismail Pg Musa dan dipengerusikan oleh Puan Aina Aqilah Ishak. 

Buku berkenaan merupakan hasil gabungan lima orang penulis daripada disiplin berlainan, merangkumi undang-undang syariah, undang-undang sivil, kajian Islam, psikologi dan gender. 

Buku tersebut diterbitkan sebagai rujukan ilmiah yang bertujuan untuk membincangkan isu transgender secara lebih teratur, sistematik dan berdasarkan fakta pelbagai disiplin. 

Menurut Dr. Pg Ismail, buku ini berusaha mengisi kekosongan maklumat yang sebelum ini sering dibincangkan hanya dalam ruang media sosial tanpa landasan ilmiah yang kukuh.

Dalam pembentangannya, Dr. Pg Ismail menjelaskan bahawa istilah transgender pada hari ini tidak boleh disamakan dengan konsep tradisional seperti lelaki berpakaian seperti perempuan yang sering direkodkan dalam kes jenayah syariah. 

Menurutnya, perkembangan budaya global serta pengaruh aliran pemikiran liberal menjadikan isu transgender kini berkaitan rapat dengan identiti, perasaan dalaman dan tuntutan hak asasi.

“Ramai berhujah bahawa mereka dilahirkan dalam tubuh yang tidak selari dengan identiti sebenar mereka. Ini antara hujah yang sering didengar dalam perbicaraan,” katanya.

Beliau turut mengaitkan fenomena tersebut dengan sejarah kewujudan golongan seperti “sida-sida” di China, “hijra” di India dan “darai” dalam masyarakat Melayu. 

Walaupun fenomena itu bukan baharu, pendekatan dan permintaan terhadap pengiktirafan jantina telah berubah secara drastik dalam era moden.

Menurutnya, kefahaman terhadap perubahan konsep tersebut penting sebelum masyarakat boleh membincangkan isu ini dengan lebih objektif.

Antara aspek yang mendapat perhatian dalam sesi tersebut termasuklah kes Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen tersebut melarang lelaki berlagak atau berpakaian seperti perempuan di tempat awam. 

Dr. Pg Ismail menyifatkan keputusan itu sebagai “kes penting yang mengubah landskap perundangan berkaitan transgender di Malaysia.”

Menurut beliau, mahkamah pada ketika itu meminta hujah yang lebih mendalam mengenai aspek psikologi dan perubatan, bukan hanya alasan bahawa perbuatan tersebut haram atau melanggar syariah.

Dalam sesi itu, beliau turut menegaskan bahawa faktor penyebab kecenderungan transgender perlu dilihat secara menyeluruh, iaitu melibatkan persekitaran, tekanan sosial, pengaruh rakan sebaya dan normalisasi budaya global. 

“Media memainkan peranan besar. Pengaruh yang berterusan boleh membentuk persepsi bahawa pertukaran identiti jantina adalah sesuatu yang normal atau diterima,” jelasnya. 

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa tidak semua individu lembut atau lasak akan menjadi transgender, namun tanpa pengawasan dan bimbingan, tingkah laku tersebut boleh berkembang ke tahap yang lebih jauh.

Perbincangan turut menjelaskan perbezaan antara transgender dengan khunsa. Menurut Dr. Pg Ismail, khunsa ialah keadaan biologi yang telah lama dibincangkan dalam fiqh, manakala transgender berkaitan rapat dengan identiti yang dibentuk atau dirasai, bukan keadaan tubuh. 

“Islam hanya mengiktiraf dua jantina dan ada perincian jelas dalam hal berkaitan khunsa. Transgender tidak termasuk dalam kategori itu,” katanya. 

Beliau turut menambah bahawa larangan menyerupai jantina lain telah dijelaskan oleh ulama dan menjadi asas kepada peruntukan undang-undang syariah yang sedia ada.

Dalam topik berkaitan rawatan, Dr. Pg Ismail menyatakan bahawa kecelaruan identiti jantina boleh dirawat melalui kaunseling, rawatan hormon terarah dan sokongan keluarga. Namun begitu, banyak individu memilih untuk mengambil hormon tanpa pemantauan doktor, menyebabkan risiko kesihatan yang tinggi. 

“Rawatan memerlukan komitmen dan kos yang besar. Ada kes yang berjaya kembali kepada fitrah asal, tetapi mereka melalui proses panjang dan memerlukan sokongan emosi serta spiritual,” tegasnya.

Beliau turut mengupas implikasi transgender terhadap maqasid syariah yang merangkumi aspek menjaga diri, akal, keturunan, harta dan agama. 

Menurutnya, perubahan hormon tanpa kawalan boleh menjejaskan emosi, menghilangkan potensi zuriat, memudaratkan kesihatan dan menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan ibadah.

“Lima aspek ini saling berkait. Apabila seseorang mengubah identiti jantina, banyak perkara asas kehidupan turut terjejas,” katanya.

Sesi turut menyentuh peranan keluarga dan institusi pendidikan dalam membimbing kanak-kanak dan remaja. Menurut Dr. Pg Ismail, pembentukan identiti bermula di rumah, dan ibu bapa perlu memberikan perhatian tanpa menghukum, tetapi pada masa yang sama menetapkan batas yang jelas. 

“Jangan terlalu cepat menghukum anak yang lembut, tetapi jangan juga membiarkan mereka meniru identiti bertentangan jantina. Pendidikan awal ialah kunci pembentukan identiti anak,” katanya.

Buku setebal 193 halaman itu dijual pada harga RM44 di reruai DBP sepanjang pesta berlangsung.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi